Patung Jesus Berdiri Teguh Dihentam Taufan Haiyan Vs Masjid Tak Ditenggelami Banjir



Pasca Taufan di Acheh dahulu, fenomena masjid kekal teguh tak tersentuh dek taufan hangat dibicarakan di Malaysia, sebagai tanda keagungan Allah SWT, dikait juga bahawa ianya adalah dalil bagaimana benarnya Islam, hinggakan bencana yang menimpa tidak menyentuh masjidnya.

Baru-baru ini, di Filipina, berlaku taufan yang dahsyat. Namun usai itu semua, ada cerita yang menggemparkan. Patung Jesus tegak berdiri walaupun taufan yang membelasah tempat itu dasyat sekali.

Maka bergemalah pula bahawa itulah bukti kebenaran Kristian. Bahkan ada muslim yang seakan tergugah.

“Bagaimana? Patung Jesus itu kekal berdiri selepas dibantai taufan. Apakah agama mereka benar?”

Fenomena keajaiban-keajaiban menjadi dalil kepada kebenaran sesuatu agama ini menarik perhatian saya. Tidak mahu saya masuk kepada perbahasan agama mana yang lebih benar, saya sebagai seorang muslim ingin memberikan pandangan melalui perspektif saya berkenaan fenomena tersebut.

Beriman Dengan Keajaiban

Ummat Islam di Malaysia, daripada kalangan rumpun melayu terutamanya, saya lihat sangat takjub dengan perkara-perkara berunsur keajaiban.

Jika ada kaktus berbentuk tulisan lafzul jalalah(Allah), maka ia akan dianggap dalil bahawa itulah dianya bukti benarnya Islam. Apabila di langit ada awan yang membentuk nama Rasulullah(Muhammad), atau nama Allah itu sendiri, pastinya akan dihebohkan, bahkan ada page-page FB yang menarik like dengan memaparkan gambar-gambar sebegini. Apatah lagi gambar pokok ruku’ dan sujud, semuanya dibesar-besarkan sebagai tanda kebesaran Allah, bukti bahawa benarnya Islam.

Begitulah apabila berlakunya peristiwa bangunan seperti masjid kekal selepas taufan. Ianya juga diangkat sebagai dalil betapa benarnya Islam.

Namun saya melihat beriman dengan cara begini, ada masalahnya.

Masalahnya apabila berlaku seperti apa yang berlaku – Patung Jesus kekal selepas taufan. Maka apakah agama Kristian itu agama yang benar dengan dalil sedemikian?

Bagaimana agaknya, jika orang-orang agama lain berjumpa dengan awan yang memaparkan logo/simbol agama mereka, bertemu dengan pokok berbentuk seperti orang agama mereka sedang beribadah dan sebagainya?

Apakah itu automatik bermakna agama mereka menjadi benar?

Sembang Seorang Rakan

Seorang sahabat pernah bersembang dengan saya, berkenaan cerita yang didengarinya daripada kawannya yang berlainan agama. Di mana patung sembahan kawannya itu, pada satu hari diceritakan telah bergerak dan berbicara, tidak lama kemudian membatu semula. Ia menggemparkan, dan kemudian kawan saya berkata: “Bagaimana? Apakah mungkin agama mereka benar?”

Di sinilah masalahnya apabila kebenaran agama disangkutkan pada keajaiban supernatural. Keimanan menjadi rapuh apabila datang keajaiban yang serupa daripada agama lain. Dalil kebenaran agama mustahil serapuh itu.

Saya jawab kepada kawan saya: “Di manakah masalahnya? Biarlah patung itu bergerak hidup macam manusia sekalipun, tetaplah itu bukan dalil benarnya sesuatu agama.”

Itu pendapat dan pegangan saya.

Termasuklah agama Islam pun. Islam dalilnya bukan lafzul jalalah pada awan, bukan nama Rasulullah pada pokok kaktus, bukan juga pada pokok yang ruku’ dan sujud.

Saya berpendapat, bukan itu dalilnya.

Beriman kepada perkara yang supernatural inilah yang membuatkan manusia mudah tersesat mempercayai perkara-perkara khurafat, seterusnya menyembah makhluk Allah yang lainnya, kerana dirasakan pada sesuatu yang berlaku padanya ciri supernatural itu, adalah dalil akan kekuasaannya, keesaanNya.

Maha suci Allah yang mengutuskan Rasul-RasulNya dengan mukjizat, tetapi para RasulNya adalah yang sering berkata:

“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut. Maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayah petunjuk oIeh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasul-rasulnya.” Surah An-Nahl ayat 36.

Hendaklah diingat juga, betapa Dajjal nanti di akhir waktu kelak, mempunyai kekuasaan supernatural juga. Itu tidak menjadikannya Tuhan. Orang yang mudah mempercayai supernatural itu ialah bukti ketuhanan, maka mudahlah nanti tumpas kepada fitnah Dajjal di akhir zaman.

Dalil Kebenaran Agama

Agama yang benar ialah agama yang diturunkan sendiri oleh Tuhan, dan Tuhan mengiktiraf kesohihan agama tersebut.

Bagaimana hendak kita ‘detect’ agama itu diturunkan sendiri oleh Tuhan Semesta Alam?

Dengan kita mengkaji kitab suci yang ada. Balik kepada ‘sumber’ agama itu sendiri, dan kita kaji. Kesempurnaan sumber itulah yang menjadi dalil bahawa sumber itu datang daripada Tuhan. Kerana Tuhan sifatnya sempurna. Tuhan Semesta Alam, kalau ada kecacatan, takkan stabil lah alam ini.

Sebab itu apabila kita mempelajari ilmu Pembandingan Agama, kita bukan menyenaraikan keajaiban-keajaiban, kejadian supernatural yang berlaku di dalam agama masing-masing. Tetapi kita membandingkan kitab-kitabnya. Kita merujuk kembali sumber agama itu sendiri. Bagaimana sumber agama itu terbentuk, siapa yang mengumpulkan/menulisnya, bagaimana pula struktur kitab itu, apakah ada fakta yang bercanggah dan sebagainya.

Kerana itu di dalam Al-Quran, Allah mencabar beberapa kali agar manusia mencipta sesuatu yang sama tarafnya dengan Al-Quran.

“Katakanlah wahai Muhammad, sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan Al Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya, walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri.” Surah Al-Israa’ ayat 88.

“Bukan itu sahaja kata-kata mereka bahkan mereka menuduh dengan mengatakan, Muhammad yang mereka-reka Al Quran itu, katakanlah wahai Muhammad, jika demikian tuduhan kamu, maka cubalah buat serta datangkan sepuluh surah rekaan yang sebanding dengan Al Quran itu, dan panggilah siapa sahaja yang kamu sanggup memanggilnya, yang lain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar.” Surah Al-Hud ayat 13.

“Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang Al Quran yang Kami turunkan iaitu Al Quran kepada hamba Kami Nabi Muhammad, maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al Quran itu, dan panggillah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar.” Surah Al-Baqarah ayat 23.

“Orang-orang kafir tidak mengakui hakikat yang demikian itu bahkan mereka mengatakan, dialah Muhammad yang mengada-adakan Al Quran menurut rekaannya, katakanlah wahai Muhammad, kalau demikian, datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al Quran itu, dan panggillah siapa sahaja yang kamu dapat memanggilnya, yang lain dari Allah untuk membantu kamu, jika betul kamu orang-orang yang benar.” Surah Yunus ayat 38.

Berkali-kali diulang cabaran itu, menandakan betapa di sanalah dalil yang terkukuh, akan kebenaran agama ini. Jika kita teliti Kitab karangan almarhum Dr Sheikh Fadhl Hassan Abbas yang bertajuk – I’jaz Al-Quran – kita akan dapat melihat ketelitian yang tak tertanding di dalam Al-Quran.

Di sanalah wujudnya ‘kebenaran’.

Indahnya Allah SWT, Al-Quran itu ayat pertamanya yang turun ialah: “Bacalah, dengan nama Tuhanmu Yang Menciptakan.” Surah Al-‘Alaq ayat 1.

Pertama menuntut bahawa kefahaman yang jelas ialah kunci kepada terbongkahnya kebenaran terhadap Tuhan yang menciptakan sekalian alam, dan ayat itu ialah permulaan kepada semua wahyu selepasnya seakan, kedua – memberikan petunjuk bahawa di dalam wahyu-wahyu inilah terdapat dalil kebenaranNya.

Penutup: Maka Sepatutnya Kita Dalami Dalil Itu


Apapun, saya tidak menafikan Allah SWT memang berkuasa menjadikan apa sahaja. Bukanlah saya hendak menyatakan langsung bahawa kalimah Allah di langit bukan sebahagian daripada kekuasaanNya. Dialah yang mengawal dunia ini, seluruh alam ini di dalam kekuasaanNya.

Tetapi saya sekadar mengingatkan diri saya dan rakan-rakan, bahawa bukan itu dalilnya yang patut dipegang. Kerana tidak mustahil awan akan berbentuk seperti simbol agama lain, tidak mustahil juga untuk gereja atau patung agama lain tidak musnah selepas bencana.

Baliklah kepada dalil yang sebenar-benarnya. Iaitu Al-Quran.

Saya masih teringat, berkait supernatural ini, iaitu berkenaan penantian Malam Al-Qadr. Ummat Islam percaya bahawa malam itu lebih baik dari 1000 bulan. Namun di Malaysia, kepercayaan itu diiringi dengan kisah bahawa pada malam itu akan berlakulah fenomena supernatural seperti pokok sujud dan sebagainya.

Akhirnya ramai ternanti-nanti malam Al-Qadr dengan mencari-cari petanda supernatural itu. Akibatnya, mereka tidak pun mengisi malam-malam akhir Ramadhan dengan ibadah sebagaimana dianjurkan oleh agama. Sia-sia bukan?

Begitulah juga apabila disibukkan kita dengan mengangkat bahawa yang supernatural itu ialah dalil benarnya agama. Akhirnya kita sendiri tidak mempraktikkan agama sebagaimana yang Islam anjurkan. Kita sendiri tidak menyantuni Al-Quran dan hadith, yang mana telah Rasulullah SAW janjikan bahawa yang berpegang dengan keduanya, tidak akan sesat buat selamanya.

Muhasabah.


Patung Jesus Berdiri Teguh Dihentam Taufan Haiyan Vs Masjid Tak Ditenggelami Banjir Patung Jesus Berdiri Teguh Dihentam Taufan Haiyan Vs Masjid Tak Ditenggelami Banjir Reviewed by Admin on 8:20:00 PG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.