Salah satu imej belalai air yang tersebar di media sosial.
Facebook dan Twitter kecoh, apabila ramai yang melahirkan rasa bimbang mereka dengan kejadian puting beliung berkenaan.
Bagaimanapiun, tidak lama selepas itu kejadian tersebut dimaklumkan sebagai belalai air dan dilaporkan berlaku di kawasan pesisir pantai Lido pada pukul 4 petang.
Seorang pelajar, Mohd Aqil Mohd Faiz, 17, berkata ia merupakan kali pertama dia menyaksikan suasana seperti itu ketika dia sedang memandu di sepanjang Jalan Skudai dekat sini pada pukul 4 petang.
"Ia muncul tidak tahu dari mana dan saya dapat melihatnya dengan jelas daripada dalam kereta saya," katanya sambil menambah dia sangat teruja dan agak takut ketika menyaksikan fenomena berkenaan.
Hasliana Mohamed, 33, berkata dia melihat kejadian berkenaan daripada pejabatnya di Hospital Sultanah Aminah pada pukul 4.40 petang.
"Saya nampak ia membentuk angin yang sangat kuat. Saya sangat takut dan bergegas ke arah kereta dan segera memandu pulang ke rumah," katanya. Sementara itu, jurucakap Jabatan Meterologi mengesahkan fenomena yang berlaku ialah belalai air.
"Belalai air ialah pusaran angin yang terbentuk di permukaan air dan kerap berlaku di iklim tropika.
"Ia sering terjadi ketika ribut petir berlaku. Kekutan angin yang dibawa tidak sekuat puting beliung," katanya.
Beliau menambah jabatan berkenaan menerima beberapa panggilan telefon berkaitan dengan kejadian tersebut, namun tidak ada yang dicatatkan berlaku pada satelit mereka.
"Kami kemudiannya menganalisis gambar dan video berkaitan dengan insiden itu dan mengesahkan ia bukan fenomena puting beliung sebaliknya belalai air. Jurucakap itu menambah belalai air hanya muncul dalam tempoh masa yang singkat dan beliau menggesa penduduk kekal tenang.
Media Sosial Kecoh, Dakwa 'Puting Beliung' Berlaku Di Johor
Reviewed by Admin
on
9:14:00 PG
Rating: