Australia Perketat Kawalan Sirul Azhar



KUALA LUMPUR 17 Feb. – Pihak berkuasa Australia mengambil langkah mempertingkatkan tahap kawalan keselamatan terhadap bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Sirul Azhar Umar.

Portal berita The Australian melaporkan, tindakan itu dilakukan ekoran timbul kebimbangan berhubung keselamatan Sirul Azhar selepas tiga rakaman video yang memaparkan pengakuannya tentang kes pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu menjadi viral melalui media sosial bulan lalu.

Menurut laporan tersebut, setiap individu yang ingin melawat Sirul Azhar perlu melalui pemeriksaan keselamatan yang ketat oleh pegawai-pegawai Pasukan Kawalan Sempadan Australia.

“Langkah tersebut diambil berikutan terdapat kemungkinan Sirul Azhar yang sedang dalam proses permohonan visa perlindungan di Australia terdedah kepada bahaya dan ancaman.

“Pihak berkuasa Australia juga percaya semua video tersebut dirakamkan sebelum Sirul Azhar dimasukkan ke pusat tahanan imigresen Villawood, Sydney pada Januari tahun lalu,” lapor The Australian seperti dipetik dari portal berita Free Malaysia Today hari ini.

Sirul Azhar dalam rakaman video terbaharu yang menjadi viral melalui media sosial pada 30 Januari lalu bersumpah dengan nama Allah SWT bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak terlibat dalam kes pembunuhan Altantuya.

Terdahulu, Sirul Azhar melalui rakaman video pertama pada 21 Januari lalu menyuarakan kekesalan dengan tindakan pihak tertentu termasuk segelintir agensi media yang cuba mengambil kesempatan dengan memperalatkannya untuk menjatuhkan dan memfitnah individu lain.

Sementara itu, melalui rakaman video kedua yang tersebar menerusi media sosial pada 24 Januari lalu, Sirul Azhar menafikan dakwaan pihak tertentu kononnya Altantuya mengandung ketika dibunuh.

Sirul Azhar dan bekas pegawai UTK, Azilah Hadri dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Per­sekutuan pada 13 Januari 2015 kerana membunuh Altantuya sembilan tahun lalu, tetapi beliau bertindak melarikan diri ke Australia. - Utusan

Australia Perketat Kawalan Sirul Azhar Australia Perketat Kawalan Sirul Azhar Reviewed by Admin on 9:16:00 PG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.