Jangan Terperangkap! Inilah Taktik Baru Penipu Online Yang Ramai Tak Tahu



JOHOR BAHRU - “Saya diarahkan buat transaksi sebagai pembantu perniagaan dengan ambil bayaran daripada pelanggan ke akaun milik saya sebelum wang diterima dipindahkan kepada penjual online berkenaan,” kata Nurul Intan Syafinas, Abdul Kahar, 24, di Mahkamah Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).

Ketika sesi pembelaan, penuntut universiti awam itu mengakui tidak tahu mangsa telah ditipu peniaga online terbabit sehingga dia diminta untuk ke mahkamah TTPM, di sini, sebagai penentang.

Ia berikutan mangsa, Norhayati Samsudin, 38, telah memfailkan tuntutan selepas barangan dibeli pada 6 Disember tahun lalu, iaitu 36 helai baju dan 20 beg tangan bernilai RM560 masih belum diterima sehingga kini.

Nurul Intan Syafinas bersetuju menjadi pembantu perniagaan untuk cari duit poket. Setiap transaksi ke akaun peniaga online terbabit, dia dijanjikan upah RM50 dengan alasan, wanita itu tidak mempunyai akaun bagi memudahkan urusan bayaran pelanggan, selain tinggal di pedalaman.

“Tugas saya adalah perantara bagi pihak pelanggan dan peniaga online. Saya tidak mengenalinya kerana tawaran pekerjaan ini saya peroleh menerusi iklan di media sosial, selepas itu kami berhubung menerusi WhatsApp. Saya memulakan tugas sejak 3 Disember lalu dalam masa seminggu.

“Sepanjang tempoh itu, saya telah melakukan tujuh transaksi melibatkan jumlah bayaran pelanggan lebih RM10,000 dan sepatutnya peniaga online terbabit bayar upah dijanjikan, RM350 namun sehingga kini saya belum terima, malah dia juga menghilangkan diri.

Menurutnya, selepas menerima wang pelanggan, urusan penghantaran barangan dibuat sendiri oleh peniaga online terbabit dan penentang tidak tahu sama ada barangan pelanggan telah diterima atau sebaliknya.

Menyedari telah ditipu peniaga online terbabit, Nurul Intan Syafinas yang berasal dari Pahang telah membuat laporan polis di Balai Polis Pekan, 11 Disember lalu.

Sementara itu, Norhayati sebagai pihak yang menuntut juga mengakui membeli tujuh barangan, namun yang selebihnya adalah milik rakan sekerjanya yang berhasrat membawa pulang ke negara asal sebagai hadiah kepada keluarga.

“Saya terlihat iklan di Facebook dan tertarik beli barangan dijual kerana harganya murah iaitu RM10 setiap satu. Namun tak sangka ditipu, malah terpaksa menggantikan wang rakan saya kerana barangan dibeli masih tidak diterima,” katanya.

Sementara itu Presiden TTPM, Bernard John Kanny dalam penghakimannya berkata, mengikut Seksyen 3 Akta Pengguna 1999, Norhayati membeli barangan itu bukan untuk kegunaan sendiri, justeru penentang juga tidak boleh dikategorikan sebagai pengguna.

Beliau juga membatalkan tuntutan di TTPM dan menasihatkan Norhayati memfailkan kes berkenaan di mahkamah sivil. - SH

Jangan Terperangkap! Inilah Taktik Baru Penipu Online Yang Ramai Tak Tahu Jangan Terperangkap! Inilah Taktik Baru Penipu Online Yang Ramai Tak Tahu Reviewed by Admin on 11:59:00 PTG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.