KULAI JAYA – Kira-kira 480,000 golongan guru dijangka menerima durian runtuh hasil penambahbaikan Sistem Saraan Malaysia (SSM), kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, kementerian masih lagi menunggu laporan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan pengumuman itu akan dibuat sebaik saja kementerian menerima maklum balas.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, golongan guru merupakan satu pertiga daripada 1.4 juta penjawat awam di negara ini dan skala gaji baru itu disambut baik oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia ( NUTP).
“Sementara menunggu laporan itu, saya berharap para guru akan terus memberikan komitmen dan tanggungjawab sepenuhnya dalam tugas mereka,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program Jelajah 1Malaysia anjuran Wanita Umno di sini, Sabtu.
Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa kakitangan awam akan menerima kenaikan gaji antara 7% hingga 13% di bawah SSM.
Kerajaan memutuskan untuk membatalkan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) kerana ia mendapat kritikan meluas di kalangan kakitangan awam.
Sebanyak 1,087 aduan dan beberapa memorandum turut diterima manakala 23 kesatuan dan pertubuhan menghantar kertas cadangan termasuk Cuepacs, NUTP, Pertubuhan Perubatan Malaysia dan Pertubuhan Akademik Malaysia.
“Ini membuktikan kerajaan sentiasa menunaikan janji kepada rakyat dan bersedia mendengar pandangan mereka,” kata Muhyiddin.
Di Kuala Lumpur, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, dalam perancangan untuk memberi ganjaran kepada antara 60,000 dan 80,000 bekas anggota tentera yang tidak berpencen dengan insentif “sederhana”.
“Terdapat cadangan untuk kumpulan bekas tentera yang akan diberi beberapa bentuk insentif.
“Saya akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri tidak lama lagi untuk membincangkan perkara ini,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran Personel Ex-Persatuan Diraja Batalion 1 Melayu di kem tentera Sungai Besi.
Pada masa ini, Dr Ahmad Zahid berkata, kira-kira 100,300 pesara dengan sekurang-kurangnya berkhidmat selama 21 tahun layak mendapatkan pencen.
“Kami akan mengkaji bagaimana untuk menyediakan dengan beberapa bentuk insentif kepada mereka yang berkhidmat kurang daripada 21 tahun,” katanya. –mstar
480,000 Guru Bakal Terima Durian Runtuh
Reviewed by Admin
on
7:59:00 PTG
Rating: