Mayat mangsa dijumpai pada jam 4.17 petang semalam tidak jauh dari tempat dia terjatuh selepas misi mencari dan menyelamat mangsa, Mohd Sazali Ismail, 36, yang beralamat di Kampung Jabor, Chukai, dilancarkan kira-kira jam 10.49 pagi semalam oleh pasukan bomba.
Saksi yang melihat bayang rambut mangsa, Ablah @ Nordin Tahir, 63, segera memaklumkan apa yang dilihat kepada unit skuba yang sedang menyelam sebelum pasukan penyelamat memeriksa dan menemui mayat terbabit yang kakinya tersekat di dalam selut di dasar sungai berkenaan.
Lihat bayang selepas 10 minit di tempat kejadian
Ablah @ Nordin dari Kampung Tengah Chukai berkata, dari jeti nelayan tempat dia melihat operasi mencari dan menyelamat dilakukan jelas dia melihat bayang kehitaman rambut mangsa di permukaan air di tengah sungai kerana air sungai yang kian surut.
“Saya segera menjerit memberitahu apa yang saya nampak kepada pihak bomba dan penyelamat yang sedang menyelam,” katanya yang melihat bayang itu selepas 10 minit berada di tempat kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kemaman merangkap Pegawai Operasi, Penolong Penguasa Mahazan Mat Junus berkata, misi mencari dan menyelamat berkenaan membabitkan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kemaman, enam anggota unit skuba Balai Bomba dan Penyelamat Chukai menggunakan dua bot penyelamat bomba.
Menurutnya, misi mencari dan menyelamat itu dimulakan selepas pihaknya menerima laporan mengenai kes lemas tersebut.
Operasi mencari dan menyelamat bagaimanapun terpaksa dihentikan seketika pada jam 1.30 petang kerana keadaan arus sungai yang deras dengan kedalaman air sedalam 2.2 meter sebelum operasi disambung semula jam 3 petang.
Dengar orang minta tolong
Gerakan mencari turut dilakukan hingga ke sekitar kawasan Kuala Kemaman dan ke Sungai Bukit Kuang kerana dikhuatiri mangsa dihanyutkan arus.Sinar Harian difahamkan, mangsa yang juga seorang duda dan memiliki seorang anak terjatuh ke dalam sungai terbabit ketika air sungai mulai pasang.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hopital Kemaman untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan.
Sementara itu, seorang saksi kejadian, Mohd Zawawi Hashim, 27, yang juga seorang penjual ikan berkata, dia menyedari kejadian lemas itu selepas mendengar sayup-sayup bunyi orang meminta tolong.
“Ketika itu saya dan tiga lagi kawan baru sahaja habis menonton televisyen di bangsal rehat nelayan di tepi jeti. Tiba-tiba terdengar bunyi percikan air kuat seperi benda jatuh ke dalam sungai. Saya dan kawan segera keluar dari bangsal dan waktu itu saya lihat seorang lelaki terkapai-kapai sambil meminta tolong sebelum jeritannya hilang sambil dia tenggelam. Namun, dua daripada kawan saya yang terjun ke dalam sungai tidak sempat menyelamatkannya kerana dia terlebih dalulu tenggelam,” katanya.
Menurutnya yang berasal dari Jalan Dato’, Chukai, jarak mangsa terjatuh dari bangsalnya berehat hanya selang sebuah bot.
Mohd Zawawi kemudiannya membuat laporan polis mengenai kejadian berkenaan di Balai Polis Chukai.
Difahamkan selepas lemas, penduduk kampung turut berusaha mencari mengsa di kawasan sekitar tetapi usaha berkenaan gagal.
Bayang Rambut Dalam Air
Reviewed by Admin
on
9:34:00 PTG
Rating: