Lelaki Maut Dirempuh Kereta


Mayat Mohd Hafiz dihantar ke HGM untuk bedah siasat.

GUA MUSANG - Pengorbanan seorang anak untuk tidak pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama ahli keluarga di kampung kerana bimbang dengan kegiatan pecah rumah yang semakin kerap berlaku berakhir tragedi, petang kelmarin.

Ini apabila remaja lelaki itu, Mohd Hafiz Che Ngah, 21, maut dirempuh sebuah kereta sebelum terpelanting 24 meter dan terjatuh di atas lantai konkrit di tebing sungai di Kilometer 40 Jalan Gua Musang - Kuala Krai, dekat sini, kira-kira jam 3.30 petang.

Akibat kemalangan ngeri itu, mangsa yang cedera parah di keseluruhan badan meninggal dunia di tempat kejadian dan enam sekeluarga yang menaiki sebuah kereta yang terbabit dalam kejadian itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sebelum itu, mangsa menunggang motosikal bersama tujuh rakan datang dari arah Kuala Krai menuju ke rumahnya di Rancangan Tanah Felda Chiku 2.

Ketika dalam perjalanan itu, mangsa berkonvoi dengan rakannya dirempuh kereta dinaiki sekeluarga itu yang terbabas menyebabkan merempuh kepala jambatan sebelum terhumban ke atas tebing konkrit di sungai tersebut.

Menurut bapa mangsa, Che Ngah Dollah, 61, memang arwah tidak pulang ke kampung kerana mahu menjaga rumah daripada diceroboh mereka tidak bertanggungjawab terutama musim perayaan sekarang.

Beliau berkata, sebelum kejadian, beliau sempat berhari raya bersama arwah pada hari raya pertama sebelum pulang ke kampung ibu mentua di Sungai Petani, Thailand.

“Kami pun tidak bercadang untuk pulang ke kampung terlalu lama kerana bimbang juga dengan keselamatan dia yang tinggal seorang diri di rumah dan tidak sangka berlaku kejadian tersebut.

“Sungguh sedih dengan apa yang berlaku itu kerana dialah anak harapan pakcik berikutan mudah disuruh apa sahaja termasuk sanggup tidak pulang ke kampung untuk menjaga keselamatan rumah setiap tahun,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Gua Musang (HGM).

Che Ngah berkata, beliau menerima panggilan telefon daripada seorang sepupu yang menyatakan mengenai kejadian jam 7.30 malam ketika hendak menunaikan solat Maghrib dan bergegas pulang ke Gua Musang.

“Pada mula saya tidak percaya dengan perkara tersebut, tetapi setelah bergegas datang ke hospital, baru mengesahkan mayat yang terbujur itu anak saya,” katanya.

Lelaki Maut Dirempuh Kereta Lelaki Maut Dirempuh Kereta Reviewed by Admin on 2:10:00 PTG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.