Zizan Pulang Beraya Naik Motor



Populariti yang dibina anak muda kelahiran Terengganu ini cukup hebat. Rezeki demi rezeki, tawaran demi tawaran yang diterima cukup untuk membuatkan Zizan Razak berada dalam kelas tersendiri. Namun, Zizan adalah Zizan yang dikenali sewaktu kemunculan awalnya dalam Raja Lawak suatu ketika dahulu. Lebaran ini, Zizan sekali lagi teruja untuk beraya bersama keluarganya di Kuala Terengganu.

“ Keluarga saya tak ramai. Ada 4 orang kesemuanya. Emak, ayah, abang dan saya. Kami akan beraya di sini (Kuala Terengganu). Raya tahun ini macam tahun-tahun yang lepas juga. Saya sekeluarga akan mengenakan baju raya dengan rona jingga raya ini “.

“ Buat peminat semua yang ingin datang beraya, saya dengan berbesar hati menjemput mereka semua datang ke rumah terbuka saya pada hari raya ketiga tahun ini di Jalan Tekukur, Kuala Terengganu. Insya-Allah, saya akan bertemu dengan peminat semua yang banyak menyokong kerjaya seni saya selama ini “, ujar Zizan yang turut merancang mengadakan rumah terbuka di Kuala Lumpur.

“ Bila raya sahaja, saya cukup suka dengan Laksa Penang air tangan ibu saya sendiri. Walaupun ibu bukan orang utara tapi penangan laksa ibu saya memang cukup sedap. Tahun lepas, dek kerana sibuk melayan peminat saya sendiri tak sempat nak rasa laksa ibu saya itu “, ujar Zizan.

Menyentuh mengenai kenangan yang tidak dapat beliau lupakan sepanjang menyambut lebaran, Zizan berkongsi pengalaman mereka sekeluarga pulang ke kampung dengan hanya menaiki motosikal.

“ Dulu kami sekeluarga tak ada kereta jadi untuk pulang ke kampung, ayah pinjam motor atuk. Sebelum bertolak pulang ke kampung yang terletak di Dungun, mak akan masak siap-siap buat bekal kami buka puasa di tengah jalan. Saya dan abang akan duduk di depan, ayah bawa motor dan mak di belakang sambil pegang beg baju kami. Kenangan itu memang takkan saya lupakan “, ujar Zizan.

Melihatkan pencapaian Zizan sekarang, kami pasti kedua ibu dan bapanya bangga akan kejayaan yang dimiliki anak bongsu kepada pasangan Anai Ibrahim dan Abdul Razak Husain itu. Sempat dicuit mengenai hubungan rapatnya dengan pelakon Juliana Evans, Zizan mengakui perasaan sayang sebagai kawan ada pada pelakon berdarah kacukan itu.

“ Kalau nak cakap tentang cinta jarak jauh memang saya ada pengalaman. Itu yang saya lebih berhati-hati agar perkara yang sama tak jadi lagi. Buat masa ini, saya dengan Jue memang berhubungan rapat dan saya sayang dia sebagai kawan baik saya saja “, akhiri Zizan dalam senyuman.

Zizan Pulang Beraya Naik Motor Zizan Pulang Beraya Naik Motor Reviewed by Admin on 8:26:00 PTG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.