Siti Saleha Simpan Niat Berhijab



“Saya seronok dan bersyukur apabila dapat tahu ramai artis wanita kita mula mengenakan hijab. Saya rasa ia satu perkembangan yang baik. Saya tumpang gembira kerana mereka berubah menjadi lebih baik. Saya percaya peluang mereka dalam bidang seni tetap ada kerana rezeki ada di mana-mana. Saya juga mempunyai seorang rakan yang mengambil keputusan berhijab secara kekal. Saya lihat kehidupannya ketika ini lebih gembira,” ujar Siti Saleha mengulas tentang perubahan imej beberapa artis wanita akhir-akhir ini.

Ditanya sama ada dia menyimpan niat yang sama, Siti Saleha memberitahu dia tidak menolak kemungkinan itu namun memerlukan masa untuk berubah.

“Saya sebenarnya tidak ada masalah mengenakan hijab kerana sudah terbiasa memakainya ketika bersekolah iaitu semenjak di tingkatan dua lagi. Malah, saya juga sudah beberapa kali menjayakan watak berhijab seperti dalam filem ‘Pencinta’, drama ‘Ustaz Amirul’ dan ‘7 Hari Di Neraka’. Setiap kali mengenakan hijab, saya tidak pernah merungut atau mengeluh kerana tidak selesa atau berasa panas. Saya boleh melakukannya. Cuma, belum sampai masanya untuk saya kekal dengan imej muslimah. Saya perlukan masa kerana tidak mahu berubah semata-mata terikut dengan perubahan orang lain atau didesak oleh sesiapa. Biarlah perubahan itu benar-benar ikhlas ” ulas Siti Saleha lagi.

Berbicara tentang projek terbarunya, pelakon kelahiran Essex, England ini memberitahu dia kini sedang mempertimbangkan tawaran berlakon untuk sebuah filem aksi drama. Jika dia bersetuju, Siti Saleha perlu belajar bercakap dialek utara.

“Ini pertama kali dapat tawaran yang memerlukan saya bercakap dialek utara. Bimbang juga kalau tidak boleh bertutur dengan baik. Mujur pengurus saya ketika ini orang Utara, jadi sekurang-kurangnya bolehlah saya belajar dengan dia,” ujar Siti Saleha teruja.

Selain itu, Siti Saleha juga mengakui dia sangat berminat dengan projek terbaru ini kerana difahamkan dia akan bergandingan dengan seorang hero yang diseganinya. Menurut Siti Saleha, jika semuanya berjalan lancar, penggambaran filem berjudul ‘Manisnya Cinta’ itu akan bermula pada Oktober hadapan.

Siti Saleha Simpan Niat Berhijab Siti Saleha Simpan Niat Berhijab Reviewed by Admin on 8:41:00 PTG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.