Memandu Selepas Dipatuk Ular



KERIAN- Seorang petani terpaksa memandu lebih 50 kilometer ke Hospital Taiping dalam keadaan kesakitan untuk mendapatkan rawatan setelah kaki kirinya dipatuk sejenis ular berbisa.

Mangsa, Hairul Anuar Khairuddin, 31, berkata, dalam kejadian jam 9.30 malam, dia sedang menikmati angin malam di persekitaran rumahnya di sini sebelum merasakan dia terpijak sesuatu secara tidak sengaja ketika sedang berjalan.

“Sedang saya berjalan, saya terpijak sesuatu dan tidak semena-mena saya merasakan ada sesuatu mematuk kaki saya.

“Setelah diamati, saya melihat seekor anak ular sebesar jari telunjuk kanak-kanak telah mematuk saya. Saya nekad untuk memukul ular itu namun ia sempat lari ke semak samun berdekatan lokasi kejadian,” katanya sewaktu ditemui media di sini, semalam.

Hairul yang juga Ketua Unit Peladang Kampung Parit Mat Ali berkata, pada mulanya ia menyangkakan ular tersebut tidak berbisa memandangkan kesan patukan ular yang tidak dikenal pasti spesiesnya tidak memberi sebarang kesan sakit.

“Pada mulanya saya tidak merasa sakit kerana saya sangkakan itu hanyalah patukan ‘ular air’ yang sememangnya diketahui tidak berbisa.

“Namun setelah hampir setengah jam, saya mula rasa kebas dan sakit manakala kaki kiri yang terkena patukan ular tersebut mula membengkak,” katanya.

Bimbang dengan keadaan itu, Hairul segera mendapatkan rawatan pesakit luar di sebuah klinik swasta berhampiran kediamannya.

Bagaimanapun, tindakannya tidak mendapat rawatan segera mengundang kebimbangan doktor kerana bisa ular terbabit boleh mendatangkan maut.

Tambahnya, dia diarahkan pergi ke Hospital Taiping segera untuk mendapatkan rawatan susulan berikutan klinik itu tidak mempunyai sebarang penawar.

“Doktor itu turut menasihatkan saya supaya mengikat kaki yang dipatuk bagi menghalang bisanya daripada terus merebak ke seluruh badan.

“Tanpa membuang masa, saya terus memandu ke Hospital Taiping yang terletak kira-kira 50 kilometer dan setibanya di sana, saya dikejarkan ke wad kecemasan dan dimasukkan ke dalam Unit Rawatan Rapi (ICU),” katanya.

Susulan kejadian itu, dia telah terlantar di Hospital Taiping selama tiga hari dan hanya dibenarkan pulang ke rumah Selasa lalu setelah kakinya sembuh sepenuhnya.

“Saya bersyukur kerana segera pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Jika tidak, saya tidak dapat membayangkan perkara buruk berlaku kepada saya.

“Saya ingin menasihatkan orang ramai agar segera mendapatkan rawatan di hospital sekiranya terkena sengatan dan patukan haiwan berbisa memandangkan kita tidak mengetahui tahap kemampuan bisa haiwan itu mengancam nyawa kita,” katanya.

sumber

Memandu Selepas Dipatuk Ular Memandu Selepas Dipatuk Ular Reviewed by Admin on 9:51:00 PG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.