Isteri Pembantu Juruterbang MH17 Dedah Di Sebalik Pesanan Terakhir Suami Dalam Sebak



PETALING JAYA: Isteri kepada pembantu juruterbang pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17, Allahyarham Ahmad Hakimi Hanapi mendedahkan di sebalik tindakannya untuk menyelesaikan tugas terakhir suaminya dalam ucapannya pada upacara memperingati tragedi itu di Belanda pada 17 Julai lalu.

Sharifah Asma'a Syed Alwi Al Junied, 29, berkata, rakaman video berdurasi kira-kira 1 minit dan 40 saat yang menjadi viral di Internet itu hanyalah sebahagian daripada keseluruhan ucapannya yang sebenarnya berdurasi tiga minit.

"Keseluruhan ucapan saya mempunyai makna tetapi rakaman versi penuh belum disiarkan lagi. Keseluruhan ucapan saya adalah mengenai penjalanan hidup yang saya lalui berkaitan dengan arwah suami yang disampaikan selama tiga minit.

"Bila anda semua mendengar keseluruhan ucapan itu baharulah anda mendapat gambaran kenapa saya melakukannya di bahagian akhir ucapan saya," katanya kepadamStar Online baru-baru ini mengenai ucapan akhirnya untuk menyelesaikan tugas terakhir suaminya yang sebelum ini tidak dapat dipenuhi kerana terbabit dalam nahas di timur Ukraine pada 17 Julai tahun lalu.

Bagaimanapun Sharifah Asma'a mendedahkan lagi bahawa arwah suaminya sering berlatih membuat pengumuman penerbangan dan perkara itu dikongsikan bersamanya.

"Saya sering merindui untuk mendengar dia (Ahmad Hakimi) buat pengumuman penerbangan. Ini kerana pengumuman itu menunjukkan pengakhiran kepada penerbangan atau tibanya ke destinasi.

"Saya berasa amat lega kerana dapat 'menyelesaikan tugasan terakhir suami', tetapi sudah tentu sedih bila mengenangkan kembali kerana realitinya dia tidak berkesempatan untuk membuat pengumuman itu. Ia sesuatu yang dapat berlaku, tetapi tidak berlaku," katanya mengenai nahas yang mengorbankan suaminya.

Menyifatkan 'tugasan terakhir' itu sesuatu yang amat peribadi, ibu kepada anak tunggal, Abderrahman yang berusia hampir dua tahun berkata, anak dan arwah suaminya menjadi kekuatan buat dirinya untuk melakukan perkara tersebut di atas pentas.

"Secara signfikan, ucapan itu dibuat untuk anak saya. Saya mahu mempunyai sesuatu yang boleh diingatinya selain upacara memperingati. Ucapan saya ini juga mewakili arwah suami saya, Penerbangan Malaysia (MAS) dan Malaysia," katanya.

Ahmad Hakimi merupakan antara 298 penumpang dan anak kapal yang terkorban dalam nahas MH17 yang terhempas selepas ditembak jatuh semasa dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai tahun lalu.

Dalam bahagian akhir ucapannya, Sharifah Asma'a berkata: "Assalamualaikum dan selamat petang. Saya pegawai pertama anda, nama saya Ahmad Hakimi, bagi pihak Kapten Wan Amran dan dibantu oleh Kapten Eugene, dan pegawai pertama, Firdaus, kami ingin mengucapkan selamat datang sekali lagi dalam pesawat Penerbangan Malaysia Boeing 777 bagi penerbangan MH17.

"Cuaca dan laluan perjalanan adalah baik sepanjang perjalanan dan kami akan memulakan pendaratan tidak lama lagi. Bagi pihak Penerbangan Malaysia dan semua anak kapal, sekali lagi kami ingin mengucapkan terima kasih kerana memilih penerbangan kami," katanya menahan sebak. - mStar

Isteri Pembantu Juruterbang MH17 Dedah Di Sebalik Pesanan Terakhir Suami Dalam Sebak Isteri Pembantu Juruterbang MH17 Dedah Di Sebalik Pesanan Terakhir Suami Dalam Sebak Reviewed by Admin on 7:58:00 PG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.