Lelaki berusia 59 tahun itu yang menetap di Butterworth pada mulanya dikatakan cuba membunuh diri berhampiran pusat beli-belah Queensbay, Bayan Lepas awal pagi ini namun digagalkan pihak polis yang bertindak memujuknya.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), ACP Azman Abd Lah berkata pihak polis menerima maklumat lelaki itu sedang menangis di tepi laut berhampiran pusat membeli belah Queensbay kira-kira pukul 4 pagi ini.
"Pasukan peronda dihantar ke tempat kejadian dan bertindak memujuk beliau agar pulang ke rumahnya.
"Anggota kita mengambil masa kira-kira tiga jam untuk memujuknya sebelum dia mahu pulang dengan baik,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata, pasukan peronda polis itu juga bertindak mengiringi bapa ahli sukan itu yang memandu kereta bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.
"Sebaik tiba di kilometer dua Jambatan Pulau Pinang kira-kira pukul 7.45 pagi, dia memberhentikan kereta di tepi jambatan dan keluar serta cuba terjun ke laut. Bagaimanapun hasil tindakan pantas polis, kita berjaya menyelamatkannya,” katanya.
Azman berkata, lelaki itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah SPT untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.
"Berdasarkan keterangan awal, beliau mendakwa menghadapi masalah keluarga kerana anggota keluarganya tidak mempedulikannya,” katanya. — BERNAMA
Bapa Lee Chong Wei Cuba Bunuh Diri
Reviewed by Admin
on
9:49:00 PTG
Rating: