Ini Kenyataan Mahathir Mengenai Isu Pemecatan Muhyiddin


Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semasa melancarkan buku 'Mahathir Bukan Kawan Saya' di Putrajaya hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Kamal Ariffin, 1 Ogos, 2015.

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata hari ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin pasti melakukan jenayah yang besar yang membuatkan Datuk Seri Najib Razak terpaksa menggugurkan beliau dari Kabinet.

Dr Mahathir, dalam nada santai biasa beliau, menegaskan yang berbanding Najib, beliau tidak pernah memecat timbalannya semata-mata kerana mereka tidak menyokongnya.

"Saya fikir Muhyiddin tentu sudah buat jenayah besar, sebab itu beliau perlu disingkirkan.

"Semua penjenayah mesti disingkirkan dari negara ini, kita tidak akan benarkan penjenayah mentadbir negara," katanya dalam nada yang seperti menujukan kritikan itu kepada Najib.

Bercakap pada sebuah majlis pelancaran buku di Putrajaya, Dr Mahathir ditanya sama ada beliau terharu kerana Najib kelihatan mengikuti jejak langkahnya dalam menyingkirkan timbalan perdana menteri.

"Saya tidak pecat timbalan saya kerana tidak menyokong saya. Musa meletakkan jawatannya sendiri, saya tidak minta beliau letakkan jawatan (dan) Anwar melakukan sesuatu yang saya tidak boleh terima, jadi saya terpaksa menggugurkan beliau," katanya dalam merujuk kepada peletakan jawatan Tun Musa Hitam pada 1986 dan tindakannya memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998.

Muhyiddin, yang secara terbuka mempersoalkan pengendalian Najib dalam syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB), menerima nasib seperti Anwar sebagai timbalan perdana menteri kedua yang dipecat dalam sejarah Malaysia.

Pada 26 Julai, Muhyiddin memperbaharui kritikannya terhadap 1MDB di mesyuarat agung tahunan Umno bahagian Cheras di mana beliau meminta Najib menjelaskan kebenaran mengenai masalah dihadapi firma pelaburan negara itu dan berhubung dakwaan The Wall Street Journal yang sejumlah wang dipindahkan ke akaun bank peribadi perdana menteri.

Muhyiddin juga mendedahkan beliau pernah menasihatkan Najib melepaskan jawatannya sebagai pengerusi lembaga penasihat 1MDB, tetapi katanya ia tidak diendahkan.

Pada Selasa, Najib memecat Muhyiddin sebagai timbalan perdana menteri dan juga sebagai menteri pendidikan.

Muhyiddin bagaimanapun masih timbalan presiden Umno.

Langkah tersebut dikritik ramai yang menganggap ia satu percubaan menutup mulut pengkritik dalam kes 1MDB, dan diambil pada hari sama Tan Sri Abdul Gani Patail, yang turut terlibat dalam siasatan 1MDB, disingkirkan sebagai peguam negara. – 1 Ogos, 2015.


Ini Kenyataan Mahathir Mengenai Isu Pemecatan Muhyiddin Ini Kenyataan Mahathir Mengenai Isu Pemecatan Muhyiddin Reviewed by Admin on 10:15:00 PG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.