Kenyataan Menteri Belia Dan Sukan Berkenaan Penangkapan Pegawai Kanan Kerajaan Oleh Sprm



BANGI, Isnin – Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin hari ini mengesahkan bahawa individu yang dilaporkan terlibat dalam isu penyelewengan adalah pegawai di Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“SPRM telah memaklumkan kepada saya beberapa minggu lepas bahawa satu siasatan sedang dijalankan ke atas pegawai tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khairy berkata, beliau dan agensi-agensi di bawah KBS akan memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan tersebut.

“KBS menyerahkan kepada SPRM untuk mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya.

Pada 17 Mac lalu, SPRM telah menahan seorang Setiausaha Bahagian di sebuah kementerian selepas disyaki terlibat dengan sindiket menyeleweng dana kerajaan yang berjumlah RM100 juta.

Menurut Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuj Azam Baki pegawai kerajaan yang ditahan itu disyaki sebagai perancang dalam penyelewengan tersebut.

Katanya pegawai tersebut telah mengarahkan sebuah agensi kementerian untuk membuat bayaran kepada 14 buah syarikat kontraktor untuk menjayakan program-program berkaitan sukan yang tidak wujud.

Turut ditahan untuk membantu siasatan lapan lagi suspek terdiri daripada tujuh lelaki dan seorang wanita, kesemuanya merupakan kontraktor.

Kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.- www.ismaweb.net/

Kenyataan Menteri Belia Dan Sukan Berkenaan Penangkapan Pegawai Kanan Kerajaan Oleh Sprm Kenyataan Menteri Belia Dan Sukan Berkenaan Penangkapan Pegawai Kanan Kerajaan Oleh Sprm Reviewed by Admin on 10:39:00 PTG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.