Mukhriz Merayu Supaya Diberi Ruang Sebelum Dipecat



SHAH ALAM - Merasakan mungkin bakal dipecat dek kerana kelantangan mengkritik kepimpinan tertinggi parti, bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir merayu Majlis Tertinggi Umno memberi ruang kepada beliau dan Timbalan Presiden yang digantung, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membela diri sebelum sebarang tindakan diambil keatas mereka.

Memetik laporan The RakyatPost.my, Mukhriz dipetik sebagai berkata beliau reda sekiranya dipecat tetapi mahu apa sahaja keputusan yang dibuat oleh Majlis Tertinggi Umno perlulah berdasarkan kepada lunas-lunas perlembagaan parti.

“Saya harap mereka akan guna perlembagaan, tidak ambil tindakan sewenang-wenangnya.

“Maksudnya kena ada siasatan oleh lembaga disiplin, kami diberi tunjuk sebab mungkin, diberi ruang untuk membela diri dan tidak hanya mengambil tindakan pecat tanpa mengikut lunas-lunas perlembagaan parti,” katanya kepada portal itu, ketika ditemui di program Santai Malam Kumpulan Melayu Berani Bersatu bersama Mukhriz di Istana Bambu, Ampang.

Usul pemecatan kedua-dua pemimpin Umno itu sebelum ini disuarakan oleh Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Seri Nazri Aziz yang menyifatkan tindakan Muhyiddin dan Mukhriz sudah melampaui batas kerana menjadi sebahagian daripada komplot menyingkirkan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.

Dalam pada itu, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishamuddin Hussein turut mengakui parti itu menerima desakkan daripada akar umbi untuk segera merujuk tindakan Muhyiddin dan Mukhriz kepada Jawatankuasa Disiplin parti.

Sehingga kini tiada sebarang tindakan dibuat Umno walaupun banyak laporan diterima parti tersebut.


Mukhriz Merayu Supaya Diberi Ruang Sebelum Dipecat Mukhriz Merayu Supaya Diberi Ruang Sebelum Dipecat Reviewed by Admin on 7:28:00 PG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.