Saman Fitnah: Mahkamah Tolak Permohonan Najib






KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mendapatkan penggantungan bagi memfailkan pembelaan dalam kes saman fitnah berhubung dakwaan salah guna laku dalam jawatan awam berkaitan siasatan kes 1 Malaysia Developement Berhad (1MDB) dan dana 2.6 billion.

Saman itu difailkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir, Bekas Ketua Umno Bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan bekas ahli Umno Langkawi, Anina Saadudin.

Hakim Mahkamah Tinggi Abu Bakar Jais membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan Tan Sri Cecil Abraham yang mewakili Perdana Menteri dan Mohamad Haniff Khatri Abdulla yang mewakili kesemua responden.

Abu Bakar bagaimanapun memberikan lanjutan seminggu dan mengarahkan Najib menfailkan pembelaan saman itu pada 9 Jun ini.

Pada 10 Mei lalu Tun Mahathir, Khairuddin dan Anina memfailkan permohonan untuk memanggil dan menyoal balas Najib berhubung afidavit bagi menyokong saman fitnah yang difailkan itu.

Dalam permohonan itu mereka memohon perintah mahkamah bahawa sekiranya Najib gagal hadir untuk disoal balas pada masa yang ditetapkan mahkamah, afidavit sokongan itu tidak dibenarkan untuk digunakan dalam prosiding saman itu.

Mereka turut memohon prosiding interlokutori bagi permohonan Najib membatalkan saman berkenaan ditangguhkan sehingga 14 hari daripada tarikh Najib disoal balas.

Tun Mahathir, Khairuddin dan Anina mengemukakan alasan bahawa defendan telah mengeluarkan kenyataan yang samar, bercanggah dan tidak konsisten dengan fakta.

Dalam saman yang difailkan pada 23 Mac lalu, mereka mendakwa Najib sengaja menganggu siasatan berkenaan 1MDB dan syarikat- syarikat berkaitan, serta siasatan aliran masuk wang RM2.6 bilion dan RM42 juta daripada SRC International ke dalam akaun peribadinya.

Mereka juga mendakwa Najib telah melakukan penindasan sehingga menyebabkan beliau dapat mengelak daripada berhadapan dengan kesan dan akibat di sisi undang- undang atas segala dakwaan salah laku atau perbuatan jenayah.

Plaintif-plaintif turut mendakwa Najib menggunakan menggunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri, Pengerusi BN dan Presiden Umno bagi melakukan salah laku berkenaan. - Sinar Harian

Saman Fitnah: Mahkamah Tolak Permohonan Najib Saman Fitnah: Mahkamah Tolak Permohonan Najib Reviewed by Admin on 7:00:00 PG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.