Penguasaan Bahasa Inggeris Pegawai Kerajaan Negeri Melaka Mengecewakan - Ketua Menteri



MELAKA, 25 Mei (Bernama) -- Tahap penguasaan bahasa Inggeris penjawat awam Kerajaan Negeri Melaka berstatus pegawai dengan gred 41 dan ke atas adalah mengecewakan, kata Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron.

Beliau berkata situasi itu merupakan sesuatu yang merunsingkan kerajaan negeri dan beliau sendiri, terutamanya dengan Melaka kini mengorak langkah untuk menjadi sebuah negeri pelabuhan bertaraf antarabangsa.

"Melaka yang kini menceburi perniagaan dan perdagangan antarabangsa memerlukan pegawai (kerajaan negeri) berbahasa Inggeris dengan cekap dan berkesan terutamanya bahasa Inggeris untuk berkomunikasi.

"Kita telah mengarahkan pihak terlibat untuk mendapatkan maklumat tentang pegawai yang mempunyai masalah berbahasa Inggeris dan akan menjalankan program meningkatkan tahap penguasaan bahasa tersebut," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Melaka di sini Rabu.

Katanya kerajaan negeri juga sedang mengatur program kerjasama dengan Universiti Teknikal Malaysia Melaka untuk mengadakan program intensif meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris.

Sementara itu, Idris berkata kerajaan negeri sedang memantau dan akan mengambil tindakan terhadap kegiatan sekumpulan orang dari luar Melaka yang menjadikan Pulau Besar di sini sebagai kawasan penempatan mereka.

Beliau berkata kumpulan itu telah mendirikan kira-kira 30 buah khemah di pulau itu dan membentuk sebuah kejiranan secara haram di pulau yang terkenal dengan aktiviti pelancongan itu.

"Kita khuatir sekiranya terjadi gejala yang tidak diingini terutamanya melibatkan keselamatan, kita juga melihat akibat penempatan ini, tahap kebersihan semakin merosot.

"Saya sendiri akan ke Pulau Besar nanti untuk melihat sendiri apa yang berlaku dan menyelesaikan segala permasalahan ini," katanya.

Penguasaan Bahasa Inggeris Pegawai Kerajaan Negeri Melaka Mengecewakan - Ketua Menteri Penguasaan Bahasa Inggeris Pegawai Kerajaan Negeri Melaka Mengecewakan - Ketua Menteri Reviewed by Admin on 10:12:00 PG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.