Kajian: Wanita Tempatan Cair Dengan Ayat Manis Warga Bangladesh, Indonesia


Kira-kira 1 peratus rakyat Malaysia mengahwini warga asing, termasuk warga Bangladesh. — Foto AFP

KUALA LUMPUR, 28 Jun — Kehebatan lelaki warga Bangladesh dan Indonesia menyusun kata-kata menjadi faktor utama wanita tempatan terpikat dan mengahwini rakyat asing, kata kajian.

Kaji selidik Universiti Putra Malaysia (UPM) juga mendapati lelaki tempatan gemar memilih gadis seberang sebagai pasangan hidup kerana faktor “layanan kelas pertama”, lapor Harian Metro.

Kajian melibatkan kira-kira 1,000 responden melibatkan lelaki dan wanita muda berusia bawah 25 tahun.

"Ini adalah hasil yang diperoleh dan alasan paling popular dalam kalangan responden kerana secara umumnya, kita memang suka dihargai apatah lagi apabila diberikan dengan kata pujian seperti yang dilakukan lelaki Bangladesh," kata Timbalan Naib Canselor UPM Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran.

"Manakala bagi lelaki tempatan pula, kebanyakan responden memilih wanita dari Indonesia disebabkan layanan yang diberikan diibaratkan seperti melayan seorang 'raja'. Ini adalah alasan yang diberikan".

Pakar sosial itu berkata, perkara itu bagaimanapun tidak membimbangkan kerana ia hanya melibatkan kira-kira 1 peratus sahaja daripada jumlah keseluruhan rakyat Malaysia yang mengahwini warga asing.

"Kita boleh buat kajian namun saya berpendapat isu penceraian yang tinggi lebih utama.

"Apa pun dalam membincangkan isu perkahwinan warga asing ini, bimbingan dan nasihat perlu diberikan terutama kepada wanita muda yang mahu berkahwin.

“Mereka perlu sedar perkahwinan itu tidak hanya semata-mata atas dasar cinta tetapi soal ekonomi juga," katanya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam Dewan Negara minggu lalu dilaporkan berkata, kerajaan mahu mengkaji faktor rakyat tempatan semakin ramai mengahwini warga asing.

Sumber: Themalaymailonline.com

Kajian: Wanita Tempatan Cair Dengan Ayat Manis Warga Bangladesh, Indonesia Kajian: Wanita Tempatan Cair Dengan Ayat Manis Warga Bangladesh, Indonesia Reviewed by Admin on 9:27:00 PG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.