DAP Tergolong Dalam Kafir Harbi Yang Mesti Ditentang? Ini Nasihat Dr. Ustaz Rozaimi Ramle


 

KUALA LUMPUR 23 Jun - DAP yang jelas menentang pelaksanaan hukum Islam dan berhasrat untuk me­nubuhkan sebuah negara sekular tergolong dalam kalangan kafir harbi yang wajib ditentang oleh umat Islam.

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman berkata, hukum bagi mana-mana umat Islam yang bekerjasama atau bersekongkol dengan DAP adalah haram serta berdosa besar.

Kata beliau, politik kebencian yang diamalkan oleh DAP jika dijalankan secara berterusan dibimbangi boleh menggugat keamanan dan keselamatan negara.

“Kita dapat lihat DAP begitu menentang pelaksanaan hukum hudud dan Rang Undang-undang Persendirian Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah (Pindaan) 2016. Prinsip mereka jelas membenci Islam dan berdosa besar bagi umat Islam bekerjasama de­ngan mereka.

“Rasulullah SAW menggalakkan umat Islam untuk berbaik-baik dengan golongan bukan Islam. Namun jika mereka yang mahu menentang Islam, kita wajib memeranginya,” kata beliau ketika dihubungi hari ini.

Utusan Malaysia hari ini me­laporkan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din berkata, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Moha­mad sanggup menggadaikan prinsipnya sendiri apabila bersekongkol dengan DAP yang nyata menjadi musuh Islam.

Kata Haron, tindakan Dr. Mahathir mencabuli prinsip yang dipegangnya selama ini akan me­ngundang banyak perkara negatif.

Sehubungan itu, Abdul Rahman meminta Dr. Mahathir segera meninggalkan DAP dan kembali ke landasan yang benar apatah lagi tindakan beliau menjurus kepada usaha untuk menjatuhkan sebuah negara Islam.

“Pas dahulu buat kesilapan dengan bersekongkol dengan DAP sebelum mereka menyedari bahawa parti berkenaan memusuhi Islam. Saya harap Dr. Mahathir perbanyakkan istighfar dan hentikan jalin kerjasama dengan DAP,” katanya. - Utusan Malaysia

Nasihat Dr. Ustaz Rozaimi Ramle - Hadith




[Adil Dalam Menilai Ketika Berbalah]

Antara perkara yang sangat sukar ialah berlaku berlaku kepada manusia ketika berlaku perbalahan. Oleh itu Allah perintahkan kita berlaku adil walaupun ketika berbalah kerana ia dekat dengan taqwa.

Saya juga tidak bersetuju bagi mereka yang mengkritik penambahbaikan undang-undang Islam dalam negara berdaulat yang mana Islam telah diiktiraf sebagai agama persekutuan ini.

Tetapi mahu menjatuhkan hukum bahawa non-muslim tersebut sebagai kafir harbi amatlah bahaya. Tidakkah kita tahu bahawa kafir harbi ini halal darah dan hartanya untuk dicerobohi?

Pandangan agamawan seperti ini sangat bahaya. Bimbang nanti ada yang lakukan keganasan dan pembunuhan dalam negara ini atas pengaruh fatwa seperti ini. Berhati-hatilah. Seeloknya ditegakkan hujah dahulu sebelum keluarkan hukum.

Dr Rozaimi Ramle

DAP Tergolong Dalam Kafir Harbi Yang Mesti Ditentang? Ini Nasihat Dr. Ustaz Rozaimi Ramle DAP Tergolong Dalam Kafir Harbi Yang Mesti Ditentang? Ini Nasihat Dr. Ustaz Rozaimi Ramle Reviewed by Admin on 5:59:00 PG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.