Pemandu Larikan Diri Lepas Langgar Pam Minyak Petronas



Kajang: Lelaki melarikan diri selepas kereta dipandunya melanggar pam minyak di stesen minyak di Bandar Sungai Long, hari ini.

Dalam kejadian 7.18 pagi itu, kereta milik lelaki berkenaan melanggar satu daripada pam minyak sehingga menyebabkan pertumpahan minyak petrol di lokasi berkenaan.

Menurut Pegawai Kanan Bomba Balai Bomba Kajang, Misan Benu, pihaknya dengan kekuatan 8 anggota dan sebuah jentera tiba di lokasi kejadian pada 7.34 pagi selepas menerima panggilan daripada orang ramai.

"Setibanya di lokasi kejadian, kami mendapati pemandu kereta terbabit tiada dan dimaklumkan oleh pekerja stesen minyak berkenaan bahawa lelaki itu sudah melarikan diri.

"Kemalangan itu juga menyebabkan berlaku pertumpahan minyak di lokasi berkenaan. Kita terpaksa mengambil tindakan menutup stesen minyak itu selama lebih satu jam bagi membersihkan kesan minyak untuk mengelakkan sebarang kejadian buruk," katanya ketika dihubungi hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, stesen minyak itu dibenarkan beroperasi selepas pemeriksaan Unit Keselamatan stesen minyak berkenaan mendapati keadaan selamat.

"Kita serahkan kes ini kepada pihak polis untuk siasatan lanjut termasuk menyerahkan telefon bimbit lelaki berkenaan yang dijumpai di lokasi terbabit dipercayai tercicir ketika melarikan diri," katanya.



Pemandu Larikan Diri Lepas Langgar Pam Minyak Petronas Pemandu Larikan Diri Lepas Langgar Pam Minyak Petronas Reviewed by Admin on 12:00:00 PG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.