Ketika kejadian, mangsa, Manisah Md Diah, 32, memandu berseorangan dari Alor Gajah menuju ke arah Masjid Tanah bertembung dengan lori satu tan sarat dengan muatan baja dipercayai hilang kawalan selepas tayar hadapan sebelah kanan lori terbabit meletup.
Saksi yang juga penduduk kampung, Jefridin Ali Mohamad, 32, berkata, ketika kejadian dia berada di rumahnya yang terletak kira-kira 100 meter dari tempat kejadian dan terdengar bunyi letupan kuat dari arah Masjid Tanah.
“Ketika itu saya berada di luar rumah, tiba-tiba terdengar bunyi letupan kuat tayar kenderaan pecah disusuli dentuman kuat. Saya berlari ke arah jalan raya dan melihat sebuah lori dari arah Masjid Tanah itu sedang menyeret sebuah kereta, kira-kira 15 meter di laluan bertentangan. Saya menjerit meminta bantuan orang awam dan berlari ke arah mangsa yang semakin lemah. Mulutnya berbuih selain mangsa me-ngalami cedera parah akibat tersepit di tempat duduk pemandu,” katanya.
Jefridin berkata, dia bersama beberapa orang awam membantu mengeluarkan mangsa menerusi pintu belakang sebelah kanan sebelum mangsa dibawa ke Hospital Alor Gajah menggunakan ambulans.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharudin, berkata, mangsa seorang guru yang mengajar Pendidikan Islam dalam perjalanan dari arah Alor Gajah menuju ke Masjid Tanah.
“Kejadian dipercayai berpunca daripada letupan tayar satu tan yang dipandu seorang lelaki berusia lingkungan 40-an, hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan merempuh kereta yang dipandu mangsa. Mangsa mengalami kecederaan parah di kedua belah kaki, badan dan muka dan dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk mendapatkan rawatan.
Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Kepada orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil atau menghubungi Balai Polis Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah di talian 06-5563222,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Ustazah Maut Kereta Diseret
Reviewed by Admin
on
12:34:00 PTG
Rating: