Kekalahan 18-21, 18-21 kepada pemain China, Chen Long di sini, sebentar tadi mengakhiri perjalanan jaguh No. 1 dunia itu di pentas Olimpik selepas dia sebelum ini mengumumkan temasya Rio 2016 adalah penampilan terakhirnya.
Chong Wei, 34, yang amat berharap untuk mendedikasinya emas buat rakyat Malaysia dalam percubaan keempat bagaimanapun mengakhiri kempen dengan kekecewaan.
“Saya tahu 30 juta rakyat Malaysia memang kecewa. Saya rasa bersalah namun saya sudah cuba yang terbaik kerana ini adalah Olimpik terakhir saya.
“Apa yang yang saya ada, apa yang saya buat masa latihan saya sudah berikan segala-galanya. Semua orang boleh tengok bagaimana Chen Long beraksi sangat baik.
“Mungkin hari ini Chen Long bersedia dengan baik sehingga semua serangan saya berjaya dipatahkannya. Kalau nak kata saya gementar, saya rasa aksi hari ini lebih baik berbanding Olimpik London 2012 dan Kejuaraan Dunia (2014). Hari ini bukan hari saya dan saya terima kekalahan ini,” kata pemenang pingat perak tiga kali itu sejurus tamat perlawanan.
Ketika ditanya apakah dia akan beraksi dalam Olimpik kelimanya di Tokyo 2020, Chong Wei membalas: “Saya tidak fikir. Saya akan terus bermain sehingga Kejohanan Dunia tahun depan dan selepas itu lihat bagaimana keadaan saya.
“Saya mungkin akan memberi peluang kepada pemain muda untuk beraksi pada 2020.”
Ditanya mengenai perancangannya dalam masa terdekat, Chong Wei berkata dia hanya mahu segera pulang ke rumah selepas menghabiskan tiga minggu di Rio.
“Sekarang, saya cuma mahu balik jumpa anak-anak saya. Saya rindukan anak-anak, rindu keluarga,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE
Luahan Hati Yang Menyedihkan Datuk Lee Chong Wei Selepas Kalah Kepada Pemain China
Reviewed by Admin
on
8:43:00 PG
Rating: