Pelajar Ditampar ‘Koyak Tisu Leher’, Bapa Mahu Saman Guru, NGO


Zulkifli Yunus mendakwa anaknya Nursyahida, 15, (foto) cedera ‘serius’ apabila tisu di bahagian leher rosak akibat kesan tamparan guru, 19 Julai lalu.

KUALA LUMPUR, 2 Ogos ― Bapa pelajar, yang belum sembuh kecederaan selepas didakwa ditampar, ingin menyaman guru terbabit dan mereka yang menuduh remaja itu bukan-bukan.

Zulkifli Yunus berkata anak sulungnya Nursyahida, 15, masih bercuti sakit selepas dibenarkan keluar hospital di Kota Baru seminggu lalu.

"Doktor beri anak saya cuti selama tiga minggu dan ini bukannya perkara yang boleh dibawa main-main. Malah pemulihannya agak perlahan sejak rawatan pertama akibat terjatuh di dalam bilik air.

“Ketika itu [rawatan pertama], dia telah dinasihati oleh ketua pakar ortopedik Hospital Raja Perempuan Zainab II supaya tidak mengangkat barang-barang yang berat, apatah lagi membiarkan orang memukul bahagian kepalanya,” katanya kepada ProjekMMO.

Ibu remaja itu Zakirah Zahari dilaporkan berkata Nursyahida mengalami kecederaan akibat terjatuh di tandas di rumahnya tahun lalu sehingga terlantar di hospital hampir dua bulan.

Dihubungi semalam, Zulkifli berkata anaknya mengalami kecederaan di leher “yang serius” apabila tisu di lehernya rosak akibat kesan tamparan dalam kejadian 19 Julai lalu.

"Pada 21 Julai lalu, dia sekali lagi dimasukkan ke wad hospital yang sama kerana mengalami muntah-muntah.

“Apabila pakar ortopedik membuat imbasan sinar X, mereka mengesahkan bahawa tulang lehernya mengalami kecederaan yang amat serius.

“Setelah membuat imbasan-imbasan CT scan dan MRI, doktor mengesahkan tisu di bahagian lehernya, yang telah tercantum akibat jatuh dalam tandas, terkoyak semula kesan ditampar,” katanya.

Susulan itu, tambahnya, Nursyahida disarankan memakai penyokong leher dan tidak banyak bergerak dan tidak melakukan aktiviti lasak.

“Malah dia hendak telan makanan pun kelihatan agak sukar dan masih dalam keadaan sakit," kata Zulkifli, 58, lagi.

Maafkan guru tapi tetap saman


Tambahnya, beliau “memaafkan” guru terbabit namun masih bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.

"Saya dengan beliau (guru) tidak ada apa-apa masalah sebab saya tidak mahu bermusuh dengan sesiapa tetapi tindakan mahkamah wajar diambil sebagai pengajaran,” katanya.

Tambahnya, Jabatan Pendidikan Kelantan mencadangkan kes anaknya itu diselesaikan dengan baik di luar mahkamah.

Beliau juga bercadang menyaman sebuah kumpulan guru yang didakwa mengeluarkan kenyataan mengaibkan anaknya.

Ketika insiden itu mula tersebar di kalangan pendidik, kumpulan itu melalui media sosial mendakwa Nursyahida memakai baju ketat, bertudung saiz kecil, mengukir alis mata dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada guru terbabit.

Melalui mesej WhatsApp, Nursyahida menafikan beliau mencantikkan keningnya seperti didakwa oleh pihak sekolah, di Tanah Merah, sehingga dikenakan tindakan disiplin.

"Saya dituduh mengandam kening saya sendiri sedangkan kesalahan saya hanya tidak memakai baju berkancing di tangan,” katanya kepada ProjekMMO semalam.

“Tidak ada sebarang pertengkaran berlaku antara saya dan guru terbabit seperti yang didakwa kerana saya cuma beritahu yang kening saya memang bukan kening andam."

"Saya kesal tetapi saya maafkan guru itu. Saya bukan sahaja dituduh, malah saya juga ditampar tiga kali oleh seorang guru yang sepatutnya mendidik saya, bukannya mencederakan saya.

“Mujurlah masa ditampar itu, saya tidak pitam, cuma rasa sakit di bahagian kepala selepas ditampar di bahagian pipi sebelah kiri berdekatan kepala.”

Guru besar sekolah tersebut enggan mengulas lanjut dan menyatakan laporan insiden itu telah diserahkan kepada Jabatan Pendidikan Kelantan.

ProjekMMO sedang mendapatkan reaksi guru dan kumpulan pendidik terbabit.

Sumber: themalaymailonline.com

Pelajar Ditampar ‘Koyak Tisu Leher’, Bapa Mahu Saman Guru, NGO Pelajar Ditampar ‘Koyak Tisu Leher’, Bapa Mahu Saman Guru, NGO Reviewed by Admin on 7:18:00 PG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.