Pas Akan Keluar Gabungan Jika...



GOMBAK - Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan ‎berkata, Pas tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang ingin menyentuh dasar Islam yang diperjuangkan parti itu.

Oleh itu, katanya Pas tidak teragak-agak untuk keluar daripada sesebuah gabungan parti politik sekiranya dasar parti itu 'disentuh'.

"Saya rasa begini, Pas menegaskan soal dasar tiada kompromi di mana dasar kita berteraskan Islam tetapi dari strategi, taktik dan pelan tindakan itu boleh berubah mengikut kesesuaian keadaan.

"Itu yang kita pegang, tetapi apa-apa strategi dan taktik ini mestilah berteraskan kepada dasar Islam.‎Sebagai contoh ketika kita dalam PR dahulu yang mana kita masuk atas dasar kefahaman bahawa kedudukan dasar kita tetap tidak akan terjejas, sekali dasar kita terjejas Pas akan pergi," katanya kepada pemberita ketika ditemui di‎ Taman Melewar bersempena mesyuarat khas Pas di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (Kuizm) di Gombak hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menggulas, adakah tujuan Pas mengadakan mesyuarat khas kerana berasa terancam dengan pengaruh politik luar ketika ini.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai hasil perbincangan mesyuarat khas Pas hari ini, Takiyuddin berkata ‎pemerkasaan parti antara topik perbincangan dalam mesyuarat itu.

"Pemerkasaan parti yang mana kita perlu selaraskan pemikiran dan pemahaman dalam satu-satu pendirian parti.

"Presiden Pas, Datuk Abdul Hadi Awang dia bagi satu konsep umum kenapa dan apa pendekatan yang perlu diambil dalam situasi sekarang ini dari sudut syarak.

"Manakala Timbalan Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dari sudut pelaksanaan, pelan tindakan, strategi dan sebagainya," katanya.

Mesyuarat khas Pas yang diadakan di Kuizm hari ini dihadiri hampir 200 ahli tertinggi Pas, antaranya adalah bagi mendengar taklimat khas daripada Abdul Hadi Awang berkenaan keadaan Pas sekarang.

Pas Akan Keluar Gabungan Jika... Pas Akan Keluar Gabungan Jika... Reviewed by Admin on 9:42:00 PG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.