Tauke Berasa Sunyi Sejak Pemergian Yus (Jambu)



PETALING JAYA: Sejak pemergian Yus (Jambu), rakan seperjuangannya, Tauke mengakui berasa kosong setiap kali membuat persembahan pentas.

Tauke atau nama sebenarnya Zamatul Amri Zakaria, 39, berkata, walaupun masih boleh menghiburkan penonton, namun dia tahu seandainya rakan regunya itu ada, pasti persembahan yang dibawakan lebih menarik.

"Sejak pemergian Yus, Alhamdulillah saya masih lagi menerima tawaran membuat lawak meskipun Jambu sudah tidak ada.

"Syukur, persembahan saya diterima ramai. Cuma, saya berasa sedikit kosong dan mengandaikan sekiranya Yus ada pastinya persembahan kami lebih kuat," katanya kepada mStar Online.



Yus (kanan) bersama gandingannya iaitu Tauke yang membentuk kumpulan Jambu dalam Maharaja Lawak siaran Astro.

Yus atau nama sebenarnya Yussry Edoo, 39, meninggal dunia akibat sesak nafas di Hospital Selayang pada 30 November tahun lalu.

Pemergian Yus adalah satu kehilangan besar buat Tauke lebih-lebih lagi kedua-dua mereka menjadi perhatian ramai gara-gara gandingan menerusi kumpulan Jambu.

Sementara itu, Tauke berkata, sebagai seorang penghibur bagaimanapun harus meneruskan kehidupan mencari rezeki walaupun tidak lagi berdiri di bawah nama Jambu.

"Saya tahu membuat lawak secara solo dan mempunya rakan regu, penyampaian persembahan pasti berbeza.

"Tetapi Alhamdulillah, saya boleh berdiri dengan sendiri. Lagipun dahulu saya memulakan kerjaya seni sebagai pelawak solo. Jadi saya yakin mampu meneruskan kerjaya sebagai pelawak solo," ujarnya.

Selain sibuk memenuhi jemputan pengacaraan dan melawak, Tauke juga sibuk mengendalikan segmen Sate di radio Era FM bersama penyampai radio Shahrol (Shiro) dan Adi Fashla. - mStar

Tauke Berasa Sunyi Sejak Pemergian Yus (Jambu) Tauke Berasa Sunyi Sejak Pemergian Yus (Jambu) Reviewed by Admin on 8:49:00 PG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.