Tanda-Tanda Kuku Seperti Ini Menjelaskan Penyakit Yang Anda Dihadapi



Kuku mempunyai fungsi tersendiri dan boleh digunakan sebagai panduan bagi mengenal pasti penyakit tertentu. Malah, kuku juga boleh terdedah kepada penyakit.

Menurut portal rasmi, MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia, plat kuku ialah bahagian sebenar kuku yang diihat oleh mata kasar, terdiri daripada lapisan keratin lutsinar berlamina.

Plat kuku ini tumbuh dari pangkal kuku. Apabila sel baru tumbuh, sel lama ditolak keluar ke hujung jari dalam bentuk lapisan keratin yang keras dan padat.

Kuku tangan tumbuh dengan kadar tiga milimeter sebulan iaitu dua hingga empat kali ganda kadar pertumbuhan kuku kaki. Dasar kuku pula ialah lapisan kulit untuk yang menampung plat kuku.

Warna sebenar kuku mengikut rona dasar kuku yang kaya dengan kapilari dan kelenjar. Justeru, warna kuku boleh mencerminkan tahap kesihatan diri kita.

Kutikel terletak di hujung proksimal kuku. Ia sebenarnya lapisan kulit mati, hampir tidak kelihatan yang terlipat di atas bagi melindungi plat kuku yang baru tumbuh.

Kuku yang sihat boleh dilihat dari segi kebersihannya, mempunyai permukaan licin tanpa alur dan warna seragam. Ia harus bebas daripada tompokan, berubah warna atau menjadi pudar.

Kuku juga terdedah kepada penyakit. Kita perlu mengenal pasti beberapa keadaan yang biasa berlaku untuk membantu mendapatkan rawatan.

* Jangkitan bakteria - Jangkitan lipatan kuku yang biasanya disebabkan oleh bakteria. Namun, kulat ialah punca jangkitan yang diketahui.

* Jangkitan kulat- Keadaan ini sering berlaku. Kuku boleh dijangkiti kulat yis atau kurap. Kuku boleh menebal dan cacat kerana kemungkinan plat kuku terpisah daripada bahagian dasar kuku. Namun, ia boleh dirawat.

* Cagu - Ia berlaku apabila kuku tumbuh dalam dasar kuku yang menyakitkan dan menyebabkan jangkitan. Ini berkaitan dengan cara memotong kuku yang salah atau berlebihan berat badan (obes). Ia kerap berlaku pada individu yang memiliki kaki bersaiz besar.

Menggigit kuku


Sesetengah orang suka menggigit kuku dan ia bukan tabiat yang baik. Menggigit kuku dianggap satu penyakit yang dipanggil gangguan tingkah laku impulsif iaitu masalah mengawal tabiat menggigit kuku jari.

Ia sering dikaitkan dengan kecelaruan tingkah laku atau emosi dan biasanya berlaku semasa zaman kanak-kanak dan remaja. Menggigit kuku boleh menyebabkan kulit pada kutikel koyak dan jangkitan kuman, malah boleh menyebabkan masalah gigi atau kecederaan gusi.

Apabila kuku yang digigit ditelan, kuman yang terselit di bawah permukaan kuku dipindahkan ke dalam perut. Cacing jarum dan bakteria di bahagian dubur boleh dipindahkan kepada perut dan menyebabkan sakit perut.

Rasa pahit pengilat kuku boleh mengurangkan tabiat menggigit kuku. Beberapa teknik terapi tingkah laku boleh digunakan untuk merawat tabiat ini.

Rupa bentuk kuku

Keadaan yang mungkin berlaku :

* Kuku putih - Kegagalan buah pinggang.

* Kuku kekuningan - Ini biasanya berkaitan dengan penyakit pernafasan seperti bronkitis kronik. Kuku kelihatan menebal dan pertumbuhannya perlahan lalu menyebabkan kuku berubah menjadi warna kuning.

* Lekuk melintang di atas kuku - Lekukan melintang ini dipanggil garis Beau. Lekukan ini berkembang di bawah kutikel apabila pertumbuhan kuku diganggu oleh kecederaan atau penyakit yang teruk.

* Kuku berbintik - Kuku mempunyai lekukan kecil di atasnya. Ia dikaitkan dengan masalah kulit yang dipanggil psoriasis dan beberapa keadaan autoimun.

* Kuku bergulung - Berpunca daripada jangkitan kulat.

* Kuku cembung - Keadaan hujung jari membengkak dan kuku berlekuk di sekelilingnya. Ia berkaitan dengan penyakit jantung, paru-paru, usus, atau penyakit hati.

Dalam keadaan tertentu bagi penyakit jantung, warna kuku clubbing boleh menjadi biru.

* Kuku sudu - Kuku nipis dan melengkung keluar yang dikaitkan dengan masalah anemia (kurang zat besi).

Panduan penjagaan kuku

* Pastikan kuku pendek. Potong kuku kaki dengan lurus. Jangan cungkil bahagian tepi kuku bagi mengelakkan cagu dan jangkitan penyakit.

Kuku panjang cenderung untuk terbelah dan mudah patah selain boleh menyebabkan kecederaan kepada diri sendiri. Elakkan memotong kuku terlalu pendek kerana ia boleh melukakan dan mendedahkan jari kepada jangkitan.

* Pastikan kuku dan jari lembap. Gunakan pelembap beberapa kali sehari.

* Mengenakan pengilat kuku. Pengilat kuku boleh mengekalkan kelembapan dalam kuku. Namun, ia mungkin tidak sesuai bagi sesetengah individu terutama orang Islam kerana perlu berwuduk sekurang-kurangnya lima kali sehari.

Namun, terdapat beberapa isu berkaitan penggunaan pengilat kuku. Antaranya:

* Bahan kimia berbahaya yang terdapat di dalamnya dipanggil dibutil phthalate (DBP). DBP ialah bahan bergetah yang mengganggu fungsi endokrin dan menyebabkan kecacatan janin.

Toulene dan formaldehid ialah karsinogen yang terkandung dalam penggilat kuku. Ciri pengilat kuku yang selamat - tidak berbau, tidak mengandungi bahan kimia atau ethylacetate, N Butil asetat dan aseton.

* Elakkan menggunakan penanggal pengilat kuku terlalu kerap. Hadkan penggunaan iaitu maksimum sekali seminggu.

Kesan penanggal pengilat kuku. Ia mengandungi aseton yang menyebabkan kulit kering dan mudah terbakar. Sesetengah individu sensitif dengan bahan berkenaan.

Justeru, kita perlu berhati-hati memilih pengilat dan penanggal pengilat kuku. Sebaik-baiknya, fikir dulu sama ada benar-benar perlu menggunakan pengilat kuku.

* Jangan membuang kutikel kuku. Membuang kutikel boleh mendedahkan kuku kepada jangkitan.



Tanda-Tanda Kuku Seperti Ini Menjelaskan Penyakit Yang Anda Dihadapi Tanda-Tanda Kuku Seperti Ini Menjelaskan Penyakit Yang Anda Dihadapi Reviewed by Admin on 8:38:00 PG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.