PI Bala Meninggal Dunia



KUALA LUMPUR: Penyiasat persendirian, P Balasubramaniam meninggal dunia kira-kira jam 2.30 petang ini ketika mendapat rawatan di Klinik Rawang.

Demikian tulis Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa melalui twitter.

Bala telah dibenarkan keluar dari Pusat Perubatan Subang jaya (SJMC) selepas seminggu dirawat di situ, angioplasty menunjukkan terdapat tiga sekatan utama pada saluran jantungnya.

Mendiang dijadualkan menjalani pembedahan pintasan tiga minggu lagi, selepas ditangguhkan sebelum ini.

Bala mendapatkan rawatan susulan pagi ini di SJMC dan kelihatan sihat.

Namun, beliau mengalami sesak nafas sekitar jam 1.30 petang.

Kepulangan Bala

Bala pulang dari persembunyian di luar negara awal bulan lepas selepas meninggalkan negara sejak 2008.

Beliau keluar negara sejurus selepas membuat akuan bersumpah kedua (SD2) berkaitan pembunuhan wanita Monggolia, Altantuya Shariibuu.

Sebelum itu, beliau membuat akuan bersumpah yang mendakwa pemimpin negara terlibat dalam kematian wanita Monggolia itu.

Dalam SD2 pula, beliau menarik balik semua yang dinyatakan dalam SD1.

Semasa di luar negara beliau membuat pengakuan, beliau telah dipaksa membuat SD2 dan dipujuk serta diberikan wang oleh seorang yang bernama Deepak Jaikishan.

Deepak, rakan perniagaan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor mengaku membantu Rosmah memujuk Bala agar membuat SD 2.

Beliau berbuat demikian setelah diminta Rosmah dan suaminya yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib.

Beliau bersama adik Perdana Menteri, Nazim Razak kemudian berjumpa Bala di The Curve, Sri Damansara.

Ekoran itu, Bala membuat SD2 dengan dibantu oleh dua peguam terkenal.

Sebaik saja pulang Bala bersumpah dengan kitab suci agama Hindu, Beghawan Geta, SD keduanya tidak benar dan SD pertama yang benar.

Deepak pula mengalu-alu kepulangan Bala dan berharap dapat bekerjasama antara mereka untuk mendedahkan segala rahsia di sebalik kematian Altantuya Shariibuu.

Deepak memohon PAS dan Pakatan Rakyat untuk membolehkan beliau mendapat perlindungan sebagai saksi untuk membuat segala pendedahan.

Sebaik saja pulang, Bala berjanji akan membuat roadshow di seluruh negara bagi menceritakan apa yang berlaku.

Namun, beliau hanya sempat berbuat demikian di Dewan Himpunan China Selangor dan di Bachok, Kelantan sahaja kerana mengadu tidak sihat.

Ada yang mendakwa beliau dikenakan ubat guna-guna oleh pihak-pihak tertentu namun tidak dapat disahkan.

Bala telah seminggu dimasukkan ke Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) dan sepatutnya akan menjalani pembedahan pintasan jantung dalam masa tiga minggu lagi.

Namun hayat beliau telah sampai dan meninggal di rumahnya selepas keluar dari hospital untuk berehat.

Rumah Bala terletak di Taman Pelangi Indah, Rawang.

sumber

PI Bala Meninggal Dunia PI Bala Meninggal Dunia Reviewed by Admin on 3:50:00 PTG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.