Maybank berada di kedudukan ke-13 dalam kumpulan bank-bank elit global dengan aset melebihi US$100 bilion berdasarkan kepada, antara lainnya, kekuatan modalnya, kualiti aset, rizab kukuh serta kekuatan deposit dan pembiayaan.
Faktor-faktor lain yang membantu bank terbesar Malaysia itu mencapai skor tinggi dalam rangking tahunan ketiga bank-bank terkukuh dunia 'Bloomberg Markets' termasuklah kecekapan kos dan pengurusan risiko, kata majalah itu dalam satu laporan yang disiarkan di laman web Bloomberg.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, pengawalseliaan ketat oleh Bank Negara Malaysia dan ujian tekanan baharu serta langkah-langkah pengawalan risiko dalam bank itu sendiri merupakan faktor-faktor yang menyumbang kepada pencapaian rangking tersebut.
Qatar National Bank berada di tempat teratas dalam ranking itu.
Ia diikuti oleh Oversea-Chinese Banking Corp Ltd (Singapura), yang jatuh darupada tempat pertama pada 2012 dan 2011, Canadian Imperial Bank of Commerce, Royal Bank of Canada, DBS Group Holdings, United Overseas Bank, Bank of Nova Scotia (Canada), Toronto-Dominion Bank, Citigroup dan Hang Seng Bank (Hong Kong).
Di tempat ke-11 hingga ke-20 ialah Svenska Handelsbanken (Sweden), China Construction Bank, Maybank, Credit Suisse Group (Switzerland), JPMorgan Chase (AS), Skandinaviska Enskilda Banken (Sweden), National Bank of Canada (Kanada), manakala Industrial & Commercial Bank of China dan Turkiye Garanti Bankasi (Turki) terikat di tempat ke-18 dan Bank of Communications (China) di tempat ke-20.
Menurut laporan 'Bloomberg Markets' itu, Maybank memperoleh skor tinggi dalam rizab pinjaman-kerugian kepada aset tidak berbayar dan deposit kepada pembiayaan serta kecekapan yang berdasarkan kepada kos kepada pendapatan.
Bagi mengenal pasti bank-bank terkukuh dunia, 'Bloomberg Markets' menilai 78 bank dengan jumlah aset US$100 bilion atau lebih pada pertengahan Mac termasuk menemu bual para pegawai atasan.
Maybank kini memiliki 2,200 pejabat cawangan di 20 negara dan saiz serta kekuatannya itu adalah hasil kesan daripada krisis kewangan Asia 1997 hingga 1998 yang menyaksikan kejatuhan nilai mata wang serantau dan beberapa bank di Indonesia, Malaysia, Korea Selatan dan Thailand hampir tumbang.
Di Kuala Lumpur, Bank Negara Malaysia merancang penggabungan yang menggabungkan lebih 60 institusi kewangan negara menjadi 10 kumpulan perbankan perdagangan besar, yang kini dikurangkan kepada lapan.
Maybank muncul daripada kegawatan itu sebagai pemberi pinjaman terbesar di Malaysia.
Sejak itu ia terus berkembang menjadi bank keempat terbesar di Asia Tenggara dari segi aset.
"Bank pusat sentiasa mengguna pakai pendekatan pengawalseliaan sangat pragmatik," Abdul Wahid dipetik sebagai berkata dalam laporan itu.
"Apabila terdapat sahaja petanda masalah, Bank Negara tidak pernah teragak-agak untuk campur tangan," katanya.
Pengembangan pesat Maybank di luar negara bermula dengan pembelian pegangan besar dalam PT Bank Internasional Indonesia pada 2008.
"Bank itu menyasar mengembangkan sayapnya ke semua 10 negara Asean apabila rantau ini bergerak ke arah penyepaduan ekonomi dirancang menjelang 2015," kata Abdul Wahid.
Maybank meraih 30 peratus keuntungan sebelum cukainya daripada operasi luar negara tahun lepas, di mana sebahagian besarnya dari Indonesia dan Singapura.
Alfred Chan, pengarah institusi kewangan di Fitch Ratings di Singapura berkata Maybank tidak ada pilihan kecuali mencari pertumbuhan di luar dari halamannya sendiri.
"Malaysia dan Singapura merupakan sektor perbankan yang telah tepu.
"Ia bermakna keuntungan akan menyusut," kata Chan.
Penyelesaian bagi Maybank adalah untuk berkembang ke negara-negara yang pantas berkembang seperti Indonesia. Tetapi di Indonesia, "risiko adalah lebih tinggi berbanding Malaysia," kata Chan.
Ketika pemberi pinjaman yang berpangkalan di Kuala Lumpur itu, yang termasuk unit perbankan Islam, berkembang, ia juga mengukuhkan pasukan pengurusan risikonya.
Abdul Wahid berkata: "Kami perlu memastikan yang kami mempunyai pekerja yang betul dengan kemahiran yang betul bagi menangani risiko kami."
Kini terdapat satu pasukan pengawal risiko yang ditempatkan dalam setiap bahagian bank tersebut.
Malaysia mula menguatkuasakan peraturan Basel III, yang bertujuan untuk mengukuhkan modal bank-bank antarabangsa besar, pada 1 Jan - mendahului majoriti 27 ahli Basel Committee on Banking Supervision.
Pada Oktober, Maybank mengumpul RM3.66 bilion (US$1.18 bilion) daripada tawaran saham persendirian sahamnya bagi membantu meningkatkan modalnya. - Bernama
Maybank Kini Bank Ke-13 Paling Kukuh Di Dunia
Reviewed by Admin
on
10:38:00 PG
Rating: