“Arwah Baru 10 Hari Bertunang”


gambar hiasan

“Arwah baru 10 hari bertunang dan saya tidak menyangka hasratnya untuk berkahwin berkecai di tengah jalan,” kata Hamdan Taib, 37, selepas adiknya terbunuh dalam kemalangan di Paka, malam kelmarin.

Dalam kemalangan kira-kira jam 8.15 malam di Kilometer 100.4, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Persimpangan Lampu Isyarat ke Taman Uda Murni Paka, dekat sini, Mohammad Alias Taib, 29, maut selepas hancur kedua belah kaki dan patah kedua belah paha.

Mangsa yang berasal dari Kampung Tertak Batu, Marang, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Dungun, kira-kira jam 10.50 malam.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta jenis Toyota Vios dipandu Haazim Ahmad Ibrahim, 26, bersama adiknya Hasbullah, 16, dari arah Paka ke Dungun dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan.

Mohammad Alias yang memandu kereta PROTON Iswara dari arah bertentangan gagal mengelak, lalu merempuh Toyota Vios terbabit. Sebuah lagi kereta jenis Toyota Harrier yang dipandu dari arah belakang turut gagal mengelak dan merempuh Toyota Vios.

Hamdan berkata, ketika kejadian arwah adiknya itu yang tinggal bersama kakaknya di Kampung Telaga Papan Kerteh, Kemaman pulang ke Marang menemui keluarga selepas bercuti tiga hari.

“Ketika kejadian, arwah dalam perjalanan pulang ke rumah kakaknya di Kerteh dan sebaik tiba di tempat kejadian dia kemalangan,” katanya.

Beliau berkata, anak kelapan dari 10 beradik itu bertunang dengan seorang pensyarah berusia 20-an yang bertugas di Kolej Teknologi dan Pengurusan Lanjutan (PTPL) cawangan Kuala Terengganu.

Hamdan berkata, arwah bertunang dengan gadis pilihannya dari Kampung Gong Kiat, Kuala Terengganu pada 14 Januari lalu dan dia sama sekali tidak menyangka adiknya itu tidak sempat mendirikan rumah tangga selepas meninggal dunia dalam kemalangan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Dungun, Pemangku Superintendan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian, menurut sumber Berita Harian.

“Semua pemandu dan penumpang dua lagi kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu hanya cedera ringan dan menerima rawatan di Hospital Dungun,” katanya.

“Arwah Baru 10 Hari Bertunang” “Arwah Baru 10 Hari Bertunang” Reviewed by Admin on 11:03:00 PG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.