MELAKA – Polis hari ini menahan Raja Noor Jan Shah Raja Tuah yang mendakwa dirinya ‘Sultan Melaka’ bagi membantu siasatan mengikut Akta Hasutan berhubung dakwaan telah mengadakan beberapa majlis penganugerahan pingat, bintang dan darjah kebesaran yang tidak diiktiraf.
Timbalan Ketua Polis Melaka Datuk Shah Gzali Khan Shahadat berkata Raja Noor Jan Shah ditahan pada 10.50 pagi ini ketika dalam perjalanan ke Pulau Besar di sini dipercayai bagi menghadiri majlis kesyukuran kewujudan kembali “Kesultanan Melayu Melaka”.
“Penahanan dibuat berdasarkan laporan polis dibuat ramai penduduk, tak kurang 10 laporan dibuat antaranya oleh pertubuhan dan NGO (badan bukan kerajaan)yang menyatakan keresahan mereka setelah melihat majlis penganugerahan berkenaan serta jemputan dan pelawaan menghadiri majlis itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Pada 8 Jan lepas, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron berkata Kerajaan Negeri Melaka menolak tuntutan Raja Noor Jan Shah untuk diiktiraf sebagai ‘Sultan Melaka’ dan menegaskan kerajaan negeri hanya mengiktiraf pingat, bintang dan darjah kebesaran diberikan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob.
Shah Gzali Khan berkata siasatan mendapati kira-kira 50 pengikut Raja Noor Jan Shah dalam perjalanan ke Pulau Besar dipercayai untuk menghadiri majlis kesyukuran itu.
“Tiada tangkapan dibuat ke atas pengikut ini, tetapi bergantung kepada tindak tanduk mereka sekiranya mereka menghalang polis dan penjawat awam melakukan tugas, mereka akan ditahan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, ACP Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, orang ramai, persatuan dan NGO membuat laporan polis ekoran tindakan
Raja Noor Jan Shah didakwa cuba meraih sokongan sehingga menyebabkan rasa tidak puas hati dan gusar rakyat negeri itu.
“Keadaan itu telah digembar-gemburkan sehingga membuat penduduk Melaka curiga dengan tindakan beliau untuk meraih sokongan mengiktirafnya sebagai ‘Sultan Melaka’.
“Individu dan NGO tersebut juga mahu polis menjalankan siasatan tentang perkara ini kerana ia telah tersebar secara meluas dan keadaan ini telah menghina sistem kerajaan sedia ada di Melaka,” katanya dalam sidang akhbar.
Beliau berkata siasatan secara serius dan terperinci akan dijalankan agar masyarakat terutama penduduk Melaka tidak diputar belit dengan pengakuan ahli perniagaan berusia 57 tahun itu sebagai ‘Sultan Melaka’.
Katanya penahanan itu juga bertujuan menyiasat kesahihan surat pengiktirafan sebagai ‘Sultan Melaka’ yang didakwa diterimanya daripada Mahkamah Keadilan Antarabangsa.
“Kita juga akan menyiasat siapa penyokong kuatnya yang menyebabkannya mengaku sebagai ‘Sultan Melaka’ dan pengikutnya tidak perlu berprasangka buruk dengan penahanan ini kerana ia adalah proses siasatan biasa dan beliau dalam keadaan baik,” kata Raja Shahrom.
Beliau berkata Raja Noor Jan atau nama sebenarnya Noor Jan Tuah berasal dari Kampung Teluk Perang, Parit, Perak itu ditahan di Jeti Anjung Batu Umbai, Jasin pagi ini sebelum sempat menaiki bot ke Pulau Besar untuk melakukan aktiviti bersama pengikutnya. - BERNAMA
Polis Menahan Noor Jan Shah Yang Duk Mengaku Dirinya Sultan Melaka
Reviewed by Admin
on
9:00:00 PG
Rating: