Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata mulai tahun ini, kerajaan akan menyalur bantuan itu ke akaun bank penerima bagi mengelak mereka beratur panjang di program pemberian BR1M seperti sebelum ini.
"Penerima BR1M yang tidak ada akaun ini tidak ramai, kira-kira 10 peratus sahaja,... sejak program BR1M dilaksana dua tahun lepas, kita mahu adakan penambahbaikan, kita akan masukkan ke dalam akaun bank," katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau juga berkata mereka yang berpendapatan RM3,000 ke bawah dan berkeluarga serta individu berumur 21 tahun ke atas dengan pendapatan RM2,000 yang menerima BR1M sebelum ini tidak perlu mendaftar lagi, sebaliknya hanya perlu memaklumkan nombor akaun bank sahaja kepada LHDN, jika belum berbuat demikian.
Bagi mereka yang berpendapatan antara RM3,001 dan RM4,000 serta berkeluarga namun tidak pernah menerima bantuan itu, perlu mendaftar dengan LHDN sebelum 31 Jan ini, katanya.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Husni berkata setakat ini kerajaan belum bercadang untuk mengurangkan lagi subsidi minyak RON95.
"Saya kesal bila tengok dalam pelbagai blog yang penuh dengan spekulasi namun saya anggap ini adalah proses kematangan rakyat. Ada individu yang akan menggunakan kesempatan dengan pelbagai tuduhan, termasuk mendakwa harga minyak akan naik," katanya.
Beliau berkata pentadbiran kerajaan memperkenal dasar 'manage float' ke atas minyak RON97 yang diguna kira-kira tiga peratus pemilik kenderaan.
"Dasar itu membolehkan harga RON97 ditetapkan pada setiap bulan iaitu apabila harga pasaran meningkat, harga RON97 juga akan dinaikkan dengan kajian purata harga... ia bukan dasar 'full float' yang mana kerajaan tidak dapat mengawal harganya, harga itu akan mengikut pasaran harian yang bertukar setiap hari," katanya.
Bagi RON95, kerajaan mengurangkan harganya RM0.20 seliter melalui dasar rasionalisasi subsidi dengan melibatkan 97 peratus pengguna kenderaan, katanya.
Ahmad Husni juga berkata kerajaan sedang mengkaji kos sara hidup menerusi makmalnya, termasuk kesan keadaan itu kepada masyarakat, agar inisiatif tertentu dapat dilaksana bagi membantu meringankan beban rakyat.
Beliau berkata makmal itu adalah satu daripada dua yang dibentuk kementerian berkenaan selain yang menjalankan kajian rasionalisasi subsidi dan kesannya kepada negara dan kesejahteraan rakyat.
"Sekarang kita ada makmal untuk kos sara hidup, kita mahu meneliti bagaimana kesannya kepada masyarakat.
"Masyarakat di negara ini mempunyai beberapa tahap gaji, ada yang berpendapatan di bawah RM1,000 ada yang meraih antara RM2,000 dan RM3,000 dan ada yang melebihi jumlah itu," katanya.
Kajian itu akan menentukan golongan yang terjejas dan setakat mana tanggungan bebanan mereka agar beberapa inisiatif tertentu boleh diambil, katanya. - Bernama
Penerima BR1M Diminta Maklum Nombor Akaun Bank Kepada LHDN
Reviewed by Admin
on
12:25:00 PTG
Rating: