Deputi Supritendan (DSP) Abdul Rani Alias, komando VAT69 yang mengetuai kawasan Sektor D memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, dalam kejadian berbalas tembak selama sejam itu pasukannya tidak nampak sebarang pergerakan musuh tetapi hanya nampak cahaya senjata api keluar dari kawasan semak.
Ketika pemeriksaan utama oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail yang mengetuai pasukan pendakwaan, saksi kelima itu berkata, kejadian berbalas tembakan itu berlaku semasa pasukannya membuat tinjauan rapat di Kampung Tanduo pada 1 Mac tahun lalu.
ABDUL GANI: Semasa kejadian berbalas tembakan itu ada kamu nampak pergerakan orang?
ABDUL RANI: Saya tidak nampak, saya nampak kesan cahaya tembakan senjata api.
Semasa pasukan kamu mula-mula ditembak apa yang kamu lakukan?
Ketika itu saya dan Lans Koperal (Mohammad) Qayyum (Aiqal Zolkifli) berada di barisan hadapan. Apabila pasukan kami mula ditembak dan apabila mendengar Qayyum cedera ditembak, pada masa itu pasukan saya mula membalas tembakan.
Berapa lama pasukan kamu berbalas-balas tembakan?
Selama sejam.
Abdul Rani memberitahu mahkamah bahawa jarak pasukannya dengan penceroboh itu kira-kira 400 meter dan semasa pasukannya mara ke hadapan pada jarak 200 meter, pasukannya telah ditembak oleh penceroboh itu.
Saksi itu berkata, selepas kejadian tembakan berhenti, pasukannya diarahkan supaya berundur dari Sektor D dan selepas itu pasukannya memeriksa kelengkapan senjata dan peluru.
Beliau berkata, keesokannya pada 2 Mei 2013, beliau mengarahkan beberapa anggotanya memasuki semula ke Sektor D untuk membuat tinjauan.
"Selepas membuat tinjauan pukul 4.30 petang, kira-kira pada pukul 5.30 petang anggota saya keluar dan memaklumkan kepada saya bahawa mereka berjaya menangkap seorang lelaki di kawasan itu,'' katanya.
Kepada soalan lain Abdul Gani, saksi itu berkata, lelaki yang berjaya ditangkap itu dibawa ke Balai Polis Cenderawasih, yang berhampiran dengan kawasan Sektor D.
Beliau berkata, lelaki itu dijumpai sedang bersembunyi di kawasan itu bersama-sama sebuah beg.
Bagaimanapun ketika ditanya Abdul Gani sama ada dia boleh mengecam lelaki itu, anggota komando VAT69 itu berkata; "tidak".
Abdul Rani berkata, dalam kejadian berbalas tembakan itu dua anggota VAT69 iaitu Koperal Sabaruddin Daud yang ditugaskan melaksanakan operasi rapat di kawasan Sektor B dan Inspektor Zulkifli Mamat dari Sektor C telah terkorban.
"Selepas kejadian tembak berhenti, saya telah berjumpa dengan DSP Anwar Rosdi yang mengetuai kawasan Sektor C. Pada masa itu saya mendapat tahu dua anggota kami telah terkorban,'' katanya.
Abdul Rani berkata, kumpulannya telah bergabung dengan kumpulan kawasan Sektor B dan C semasa kejadian tembakan itu.
Beliau berkata, seorang anggotanya dari Sektor D, iaitu Lans Koperal Qayyum telah cedera ditembak di bahu kanannya.
Terdahulu, Abdul Gani menunjukkan 11 keping gambar yang diambil jurugambar VAT69 semasa membuat tinjauan udara menggunakan helikopter di Kampung Tanduo pada 28 Februari 2013, kepada Abdul Rani.
Kepada sekeping gambar, Abdul Rani menjelaskan, berdasarkan gambar itu kelihatan seorang lelaki yang memakai pakaian celoreng telah mengacu senjata api kepada jurugambar itu.
Ketika ditanya Abdul Gani, bagaimana dia pasti lelaki itu sedang mengacukan senjata api kepada jurugambar itu, saksi itu berkata, "cara dia pegang senjata api dan cara pandangan dia".
Kepada sekeping gambar lain, saksi itu berkata, kelihatan seorang lagi lelaki berpakaian celoreng mengangkat parang menggunakan tangan kanannya kepada jurugambar itu.
Semasa Abdul Gani meminta saksi itu menjelaskan apakah jenis senjata api yang digunakan lelaki-lelaki berpakaian celoreng itu, Abdul Rani berkata; "kebanyakannya adalah M16".
Abdul Rani berkata, sekeping lagi gambar menunjukkan sebuah rumah di mana terdapat dua orang lelaki berada di bawah rumah manakala seorang lagi berada di beranda rumah itu.
Di tepi rumah itu terdapat satu bendera berwarna hijau, putih dan kuning yang digantung di tepi sebatang pokok.
Kepada soalan Abdul Gani mengenai sekeping gambar lain yang menunjukkan seorang lelaki sedang mengibarkan sehelai tuala kecil berwarna putih adakah ia menunjukkan perilaku orang yang hendak menyerah kalah, saksi itu menjawab "tidak".
Mengenai sekeping gambar yang menunjukkan sebuah rumah dua tingkat berdekatan dengan jalan keluar ke Kampung Tanduo, iaitu di luar rumah terdapat dua buah jengkaut, Abdul Rani menjelaskan, jengkaut itu digunakan lelaki-lelaki berpakaian celoreng itu untuk mengorek lubang bagi membina kubu.
Seramai 27 tertuduh warganegara Filipina dan tiga lagi rakyat Malaysia dituduh melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong yang jika sabit kesalahan membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan pertuduhan menjadi anggota kumpulan pengganas, yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan denda.
Seorang daripada mereka turut berdepan dua pertuduhan tambahan iaitu merekrut anggota kumpulan pengganas dan melindungi individu yang diketahui anggota kumpulan pengganas.
Lima individu daripada lapan tertuduh lagi berdepan pertuduhan menjadi anggota kumpulan pengganas manakala seorang lagi, iaitu satu-satunya wanita dan merupakan warganegara Malaysia, didakwa melindungi individu yang diketahuinya anggota kumpulan pengganas.
Dua lagi berdepan pertuduhan cuba melindungi individu yang diketahui anggota kumpulan pengganas.
Mereka dituduh melakukan kesalahan masing-masing antara 12 Februari dan 10 April tahun lepas.
Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung yang diadakan di Jabatan Penjara Sabah, bersambung esok. — BERNAMA
Komando VAT69 Tembak Sulu Hanya Berpandukan Cahaya
Reviewed by Admin
on
9:31:00 PG
Rating: