Komen Raja Muda Selangor Atas Pernikahan Ayahandanya Sultan Selangor Dengan Pembaca Berita


 

SHAH ALAM, 2 SEPT: Pengumuman rasmi pernikahan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dengan pembaca berita Radio Televisyen Malaysia (RTM), Norashikin Abdul Rahman bukan sahaja menggembirakan seluruh rakyat Selangor, bahkan turut dirasai anakanda baginda, Tengku Amir Shah.

Menerusi laman sosial Instagramnya, Raja Muda Selangor itu menzahirkan ucapan tahniah kepada ayahandanya di atas pernikahan baginda yang berlangsung di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, 31 Ogos lalu.

“Anakanda berasa kagum dengan lelaki ini yang dipanggil Ayahanda. Anakanda akan sentiasa menyokong dan berdiri di belakangmu sebagai pahlawanmu.

“Patik sentiasa bangga menjadi anakandamu. Alhamdulillah dan tahniah Ayahanda. Patik sangat-sangat gembira,” demikian tulis Raja Muda dalam entrinya itu.


Raja Muda berkata baginda sangat mengagumi Sultan Selangor, baik sebagai Ayahanda, mahupun sebagai Sultan, yang disifatkannya sebagai seorang Sultan yang bijaksana dan disayangi rakyat.

“Hubungan kami adalah seperti bapa dan anak-anak lain. Baginda memberikan patik kehidupan, berkorban demi patik, membesarkan patik menjadi seorang lelaki, membimbing patik apabila patik jatuh dan baginda menjadi contoh terbaik kepada patik tentang bagaimana untuk menjadi seorang pemimpin yang hebat.

“Baginda seorang lelaki yang berhati cekal, pejuang yang berani, Sultan yang penuh bijaksana dan disanjung oleh rakyatnya,” kata Raja Muda.

Entrinya itu setakat ini disukai lebih 2,000 pengguna Instagram.

Sultan Sharafuddin Idris Shah adalah Sultan Selangor kesembilan memerintah Selangor sejak 22 November 2001 ekoran kemangkatan ayahanda baginda, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj.

-nR-

Sumber: Selangorkini.my

Komen Raja Muda Selangor Atas Pernikahan Ayahandanya Sultan Selangor Dengan Pembaca Berita Komen Raja Muda Selangor Atas Pernikahan Ayahandanya Sultan Selangor Dengan Pembaca Berita Reviewed by Admin on 7:48:00 PG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.