Tak Jadi Potong Air, Lihat Penghuni Lumpuh



SUNGAI PETANI - Hasrat kakitangan Syarikat Air Darul Aman (Sada) untuk membuat pemotongan bekalan air di sebuah rumah di Bandar Amanjaya, di sini, tidak diteruskan setelah melihat penghuni rumah adalah wanita lumpuh separuh badan dan anak OKU kudung kedua-dua belah tangan.

Kakitangan syarikat air berkenaan sebaliknya memaklumkan perkara berkenaan kepada beberapa pihak berwajib untuk membolehkan bantuan disalurkan.

Penghuni rumah berkenaan, Hasnah Ibrahim, 58, yang lumpuh sejak Aidiladha baru-baru ini, berkata, dia mempunyai tujuh orang anak termasuk Hasnor Hafidy, 25, yang kudung kedua tangan sejak lahir.

Hasnah berkata, dia bersyukur kerana ada anak yang boleh membantu menguruskan segala urusan sejak dia lumpuh.

“Sejak sakit, anak keenam, Hasnor Affandee, 23, terpaksa berhenti kerja dan balik ke rumah menjaga kami berdua.

“Dia juga menguruskan segala urusan rumah tangga termasuk memberi makan, minum dan mandikan makcik,” katanya.

Kata Hasnah, beberapa tahun sebelum ini, dia juga pernah diserang strok sebelah kiri tetapi boleh lagi bergerak.

“Lepas sembuh, kena pula lagi sekali. Kali ini, hanya mampu mengharapkan bantuan Affandee angkat dan mandikan makcik. Masak pun dia siapkan untuk kami,” luahnya.

Katanya, sebelum ini Affandee bekerja dengan kontraktor Telekom Malaysia Bhd (TM), namun terpaksa melupakan hasrat untuk membantu keluarga kerana dia jatuh sakit.

Jelasnya, seorang lagi anaknya, Hasnor Hafizy, 26, bekerja dekat kilang berdekatan dan merupakan tulang belakang keluarga sejak suaminya meninggal tujuh tahun lalu.

Bil air cecah RM200 sebulan

Sementara itu, Affandee berkata, sebelum ini mereka membayar bil bulanan air Sada yang mencecah hingga RM200 sebulan sejak lebih setahun lalu tanpa mengetahui ada kebocoran paip.

"Bil tertunggak sejak tiga bulan sejak ibu jatuh sakit.

"Saya agak terkejut dimaklumkan oleh pihak Sada terdapat kebocoran paip menyebabkan bil air meningkat setiap bulan," katanya.

Akhirnya, masalah mereka mendapat perhatian meluas selepas ada beberapa pihak menghulurkan sumbangan termasuk kumpulan yang menjalankan kerja-kerja pemeriksaan dan menukar paip bocor secara sukarela.

Bayaran tunggakan bil lebih RM600 pula diselesaikan Timbalan Ketua Umno Bahagian Sungai Petani, Senator Shahanim Mohd Yusoff yang menghantar kakitangannya ke rumah keluarga itu semalam.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula sahkan Bantuan Penjagaan Pesakit Kronik dan Terlantar sebanyak RM300 akan dinaikkan menjadi RM600 bermula Oktober ini melihat kepada syarat kelayakan yang dipenuhi.

Tambah Affandee, ayahnya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan juga pernah diserang strok selepas jatuh dari tingkat tinggi.

“Ayah terlantar selama tiga tahun sebelum meninggal dunia,” katanya yang kini terpaksa menguruskan hal abang dan ibunya yang terlantar.

Menurutnya, setiap pagi dia akan memastikan keperluan kedua-duanya mencukupi termasuk makan dan minum mereka.

Buat kerja guna kaki

Sementara itu, Hafidy, yang menggunakan kedua-dua belah kakinya untuk melakukan tugasan harian banyak menghabiskan masa menonton televisyen dan bermain bersama kucing peliharaan.

Hobinya pula bermain dengan koleksi kereta mainan selain melayan ibu dan Affandee.

Dia dilihat gembira dengan kehadiran orang ramai dan tidak berhenti bercerita mengenai perihal dirinya apabila ditanya.

“Saya boleh buat semua kerja sendiri, saya makan, minum dan mandi sendiri. Saya suka mandi lewat tak suka mandi awal-awal,” katanya sambil tersenyum.


Tak Jadi Potong Air, Lihat Penghuni Lumpuh Tak Jadi Potong Air, Lihat Penghuni Lumpuh Reviewed by Admin on 9:34:00 PTG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.