Apek Perlu Jauhi Dunia Sosial



Khairul Fahmi Che Mat ternyata seorang insan yang istimewa bagi kalangan peminat-peminat bola sepak negara ketika ini ekoran prestasi hebatnya mengawal pintu gol skuad Harimau Muda sehingga berjaya membantu menghadiahkan sebutir pingat emas berharga pada Sukan SEA di Indonesia baru-baru ini.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Apex tangkas menampan keluar sepakan Ferdinand Sinaga untuk membantu kemenangan skuad Harimau Muda membenam dua kali skuad Garuda di bumi sendiri.
Sebelum Apex berangkat ke Indonesia, pelbagai kontroversi telah melanda anak muda itu apabila beliau secara tiba-tiba memutuskan pertunangannya dengan Aimie Harmelia atau dikenali sebagai Elia ‘jejari runcing’.
Elia mendakwa hubungan mereka telah menjadi mangsa gangguan orang ketiga, namun Apex bermati-matian menafikan tuduhan bekas tunangnya itu dan menyatakan bahawa beliau memutuskan pertunangan mereka kerana tidak serasi lagi bersama.
Setelah itu, timbul pula gosip di blog-blog hiburan yang menyiarkan gambar Apex bersama seorang wanita, Dahlia Teck, sedang melancong di Singapura sambil berpegang-pegangan tangan menunjukkan keintiman luar biasa.
Bagaimanapun, Apex menafikan dirinya menjalin hubungan istimewa dengan Dahlia dan menjelaskan bahawa mereka hanyalah kawan biasa.
Jawapan tersebut menimbulkan ketidakpuasan hati dikalangan peminat-peminatnya memandangkan apa yang tersiar dan terpamer di mata mereka adalah bertentangan dengan kenyataan yang dibuat oleh Apex.
Sebelum Apex berangkat ke Indonesia, sekali lagi Apex dilanda kontroversi panas apabila blog-blog hiburan terkenal menyiarkan gambarnya bersama Dahlia dan beberapa gadis seksi berhibur di sebuah kelab eksklusif di Bukit Bintang di sini.
Melalui gambar tersebut, peminat-peminat Apex dapat melihat botol arak yang sudah dibuka diletak di atas meja di hadapannya, sekaligus menimbulkan spekulasi – Apex minum arak kerana mukanya juga kelihatan merah dalam gambar itu.
Bagaimanapun, di dalam kekalutan menghadapi kejohanan bola sepak di Sukan SEA, anak didik Ong Kim Swee ini sempat menafikan dakwaan yang mengatakan dia minum arak, sebaliknya mendakwa mukanya menjadi merah akibat kepanasan di restoran itu.
Kemudian, Apex berangkat ke Jakarta dan kembali membawa pulang kalungan pingat emas Sukan SEA dan dia dijulang sebagai salah seorang wira skuad Harimau Muda serta menerima pujian melangit dari pelbagai pihak.
Malangnya, belum pun panas punggung Apex di tanahair, beliau digegarkan pula dengan isu kontroversi membabitkan wanita bernama Shida Harmi yang dikatakan “pernah tidur” dengan penjaga gol skuad bola sepak negara bawah 23 tahun itu.
Malah, kandungan perbualan menerusi Blackberry Messenger (BBM) yang dikatakan berlaku di antara Apex dan Shida itu panas diperkatakan, apatah lagi setelah skuad Harimau Muda tewas kepada Syria 0-2.
Para peminat semakin panas hati apabila menyaksikan skuad Harimau Muda tewas lagi, 2-3, meskipun telah mendahului skuad Bahrain sehingga perlawanan berbaki 10 minit dan ramai menyatakan bahawa Apex adalah antara faktor kekalahan tersebut.
Penulis mengikut perkembangan anak muda yang berpotensi besar ini dan mengakui bahawa beliau adalah antara penjaga gol yang memiliki kemampuan menjaga gawang yang terbaik di negara ini.
Bagaimanapun, secara sedar atau tidak, Apex semakin hari semakin popular dengan masalah gaya hidup serta rakan-rakan perempuannya.
Kehebatnnya mempertahankan gol negara semakin kurang diberikan perhatian oleh orang ramai.
Sekadar peringatan mudah, Apex harus perlu lebih berhati-hati dengan pergaulan sosialnya yang sebenarnya mampu menggangu tumpuan terhadap pembinaan kariernya sebagai penjaga gawang pasukan bola sepak negara.
Apex harus membawa diri sebagai seorang ahli sukan dan cuba mengelak daripada meletakkan dirinya dalam situasi yang akan hanya membawa gosip liar.
Bergambar dengan botol arak terbuka di hadapan mata sebagai contoh, itu sesuatu yang Apex patut elakkan kerana di zaman di mana sekeping gambar boleh tersebar ke serata dunia melalui sekali tekan butang telefon bimbit, menjadikan Apex perlu berfikir lebih mendalam dengan siapa hendak bergambar dan apa yang ada dalam gambar itu.
Itu hanya sebahagian contoh. Banyak lagi benda lebih baik boleh diberikan perhatian oleh Apex. Dia juga perlu berhati-hati dengan musuh dalam selimut.
Bolos dari Apex membawa makna kekalahan kepada negara dan dikhuatiri bayangan gadis-gadis yang menghantui pemikirannya ketika beraksi mampu menyebabkan beliau ‘tidak nampak bola’ di tengah padang.
Kita semua tahu Apex adalah seorang penjaga gol yang sangat hebat dan aset dalam pembangunan bola sepak negara. Dia harus kekal sebagai satu aset tanpa ada gangguan dari luar.
Namun semua itu terpulang kepada kemampuan Apex mengawal kehidupan sosialnya.

Apek Perlu Jauhi Dunia Sosial Apek Perlu Jauhi Dunia Sosial Reviewed by Admin on 1:26:00 PTG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.