REMBAU – Hanya berusia sembilan tahun, kanak-kanak ini sudah pun mengalami pengalaman pahit dalam hidupnya apabila didera dengan senjata tajam oleh bapa kandungnya sendiri di kediaman mereka, Oktober lalu.
Mangsa, yang sebelum ini menetap di Kuala Lumpur bersama keluarganya akhirnya berjaya diselamatkan oleh badan bukan kerajaan (NGO) dan dibawa menetap di Rumah Kebajikan Vivekananda sejak 24 Oktober lalu.
Menurut mangsa, dia terperanjat apabila bapanya sanggup meletakkan pisau pemotong sayur yang sudah dipanaskan di bahagian kedua-dua betisnya susulan tidak gemar tabiatnya menggigit kuku.
“Saya sangat takut dan tidak mahu lagi duduk di rumah. Namun, saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana tiada siapa yang boleh membantu termasuk saudara mara serta adik beradik yang sama-sama masih kecil.
“Akhirnya semasa di sekolah, guru yang sedar dengan kelainan sikap saya telah membawa saya ke balai polis berdekatan untuk membuat laporan polis berhubung tindakan menakutkan bapa saya,” katanya ketika ditemui sempena Rumah Terbuka Deepavali anjuran rumah berkenaan, dekat sini.
Hadir sama, Adun Chembong, Zaifulbahri Idris; Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Rembau, M Tanamalar dan Pengerusi Rumah Kebajikan Vivekananda, RD Ramesh Patel.
Mangsa berkata, susulan kejadian itu, dia telah mendapatkan rawatan lanjut di hospital dan ditempatkan di wad untuk beberapa hari.
“Ibu ada datang dan menyuruh saya menarik kembali laporan yang dibuat serta pulang ke rumah.
“Saya tidak mahu sebab saya takut sekiranya pulang ke rumah, saya akan dikenakan lebih teruk lebih-lebih lagi kedua-dua orang tua saya memang suka minum minuman keras,” katanya.
Sementara itu, Ramesh berkata, buat sementara waktu ini pihaknya telah mendapatkan perintah penjagaan sementara kepada mangsa sehingga diputuskan oleh pihak berkaitan sama ada hak penjagaan sehingga dia berusia 18 tahun ataupun keluarganya sudah berubah serta ada pihak lain boleh menjaganya.
“Bagaimanapun, kami di rumah kebajikan ini sememangnya sentiasa membuka pintu kepada mana-mana kanak-kanak tidak bernasib baik untuk mendapatkan perlindungan bagi masa hadapan mereka,” katanya.
Letak Pisau Panas di Betis Anak
Reviewed by Admin
on
11:26:00 PTG
Rating: