Melaka bersedia mengubal dan mewartakan enakmen khusus bagi menakrifkan kegiatan homoseksual dan lesbian sebagai satu ajaran sesat.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, selain satu usaha menangani gejala ini dari menular dan berleluasa di negeri berkenaan, enakmen itu juga akan membolehkan pihak berkuasa agama mengambil tindakan tegas, sebagaimana tindakan terhadap mana-mana pengikut ajaran sesat.
Menurutnya, tindakan sedemikian termasuklah ini membicarakan mereka di mahkamah syariah serta dimasukkan ke pusat pemulihan akidah bagi dibimbing kembali ke pangkal jalan.
“Kita bersedia untuk mengubal dan mewartakan enakmen khusus bagi menangani gejala homoseksual dan lesbian ini, sebagaimana kita tangani ajaran sesat sebelum ini.
“Sebagaimana tindakan diambil terhadap ajaran sesat lain seperti al-Arqam dan sebagainya, tindakan serupa akan turut diambil terhadap mereka yang menyokong, mengikut atau terlibat dalam aktiviti homoseksual dan lesbian ini,” katanya ketika diminta mengulas mengenai program Seksualiti Merdeka 2011 yang diharamkan polis.
Difahamkan, setakat ini, pihak Majlis Agama Islam Melaka (Maim) sudah mewartakan hampir 16 ajaran sesat.
Bagaimanapun, menurut Mohd Ali, yang juga Pengerusi Maim, perkara berkenaan perlu dirujuk terlebih dahulu ke badan itu bagi mengenal pasti sama ada perundangan sedia ada memadai untuk menangani gejala berkenaan.
Menurutnya, sekiranya tiada perundangan khusus yang kuat membabitkan homoseksual dan lesbian, maka tindakan mengubal enakmen berkenaan akan dilakukan.
“Kalau di Melaka ada yang mengaku mengamalkan gaya hidup homoseksual atau lesbian, saya akan rujuk mereka untuk tindakan. Ini sudah boleh dikira sebagai ajaran sesat. Dan sebagaimana ajaran sesat, tindakan tegas perlu diambil.
“Kita tidak akan membenarkan gejala sebegini bertapak di negeri ini kerana ia bukan sahaja ditegah dalam Islam, bahkan kesemua agama lain turut menegahnya,” katanya.
Sementara itu, seorang jurucakap Maim berkata, Maim akan mengambil langkah sewajarnya untuk mengubal dan mewartakan enakmen berkenaan sekiranya diarah berbuat demikian.
Bagaimanapun, menurutnya, nasihat serta pandangan pakar perundangan perlu diperolehi, selain merujuk kembali enakmen sedia ada, sebelum sebarang tindakan selanjutnya boleh dijalankan.
Homoseksual Akan Ditakrif Sebagai Ajaran Sesat
Reviewed by Admin
on
11:26:00 PTG
Rating: