Ini Kenyataan Jakim Berkenaan Penganjuran Konsert Selena Gomez Di Malaysia



PETALING JAYA: Artis perlu berperibadi mulia dan tidak pernah disabitkan dengan kesalahan jenayah sama ada di bawah undang-undang syariah atau sivil sebelum boleh mengadakan konsert di negara ini.

Itu antara garis panduan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang perlu dipatuhi artis dan penganjur konsert sebelum kelulusan diberikan.

Bukan itu saja, penampilan yang sopan dan beradab juga perlu ada pada artis itu sekiranya mahu mengadakan konsert di Malaysia.

“Artis harus berpakaian menutup aurat, kemas dan sopan serta tidak memakai pakaian yang boleh mendedahkan diri kepada eksploitasi penonton dan tidak bercanggah dengan kehendak Islam,” menurut garis panduan dikeluarkan Jakim.

FMT menyenaraikan semakan garis panduan Jakim susulan kenyataan Pengerusi Lajnah Dakwah Pemuda PAS Hafez Sabri yang mendakwa konsert bintang pop remaja Selena Gomez yang dijadualkan pada 25 Julai ini di Stadium Malawati Shah Alam melanggar garis panduan hiburan Jakim.

Hafez juga menggesa pihak berkuasa menyekat persembahan konsert Selena Gomez kerana mendakwa ia merosakkan akidah umat Islam.

Beliau juga menggesa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengeluarkan surat rasmi bagi tujuan itu.

Selain itu terdapat lapan lagi garis panduan yang dikeluarkan Jakim yang diluluskan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ke-107 pada Februari tahun lalu.

Antaranya, mereka tidak harus mendandan rambut menyerupai jantina yang berlainan atau berlakon menyerupai jantina lain.

Selain itu, artis juga perlu memastikan lawak jenaka mereka berpada-pada dan tidak melampaui batas iaitu sehingga membawa kepada ketawa yang melampau.

“Bukan itu saja, ucapan dan gerak laku tidak harus mengandungi kata-kata kesat, lucah atau fitnah. Mereka juga harus mengelakkan unsur pemujaan atau penyembahan secara langsung atau tidak langsung kepada sesuatu makhluk atau peribadi lain.

“Persembahan tarian pula tidak boleh mengandungi unsur lucah atau membangkitkan nafsu. Lelaki dan perempuan tidak harus melibatkan diri dalam pergaulan bebas semasa mengadakan latihan atau raptai.

“Lirik lagu harus mengandungi nilai murni dan selari dengan adab kesopanan serta tidak membangkitkan emosi negatif yang bercanggah dengan ajaran Islam. Tidak bercampur antara lelaki dan perempuan dalam satu persembahan yang boleh menimbulkan fitnah,” tulis Jakim.

Konsert Selena Gomez di Malaysia merupakan sebahagian daripada siri jelajahnya, The Revival Tour yang bermula di Amerika Syarikat Mei lalu.

Ia merupakan persembahan pertama artis itu yang juga bekas teman wanita Justin Bieber di negara ini susulan konsertnya yang dijadualkan pada 2014 terpaksa dibatalkan atas sebab kesihatan.



Ini Kenyataan Jakim Berkenaan Penganjuran Konsert Selena Gomez Di Malaysia Ini Kenyataan Jakim Berkenaan Penganjuran Konsert Selena Gomez Di Malaysia Reviewed by Admin on 7:12:00 PG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.