Menteri Besar Terengganu Buat Kejutan Terhadap Ahmad Said



KUALA TERENGGANU: Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman membuat kejutan apabila menyenaraikan bekas menteri besar, Datuk Seri Ahmad Said sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam perubahan portfolio membabitkan enam EXCO Kerajaan negeri, hari ini.

Pelantikan itu dilihat seperti usaha membawa kembali Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kijal hampir dengan jentera eksekutif negeri selepas tiada sebarang jawatan sejak digugurkan sebagai Menteri Besar pada Mei 2014.

Ahmad yang juga Ketua UMNO bahagian Kemaman ketika dihubungi enggan mengulas mengenai pelantikan itu.

Berdasarkan pekeliling perubahan portfolio dikeluarkan Pejabat Menteri Besar petang ini, Ahmad dilantik sebagai timbalan kepada bekas Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Mohd Jidin Shafie yang kini dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Mendahului senarai pertukaran portfolio yang akan berkuat kuasa Ogos ini ialah Ahmad Razif sendiri yang kini memegang jawatan Perancang, Kewangan & Pelaburan, Tanah, Petroleum, Sumber Asli, Pelancongan dan Kebudayaan negeri.

Berdasarkan pekeliling pertukaran portfolio EXCO Kerajaan Negeri, Ahmad Razif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir sebelum ini memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perancang, Kewangan & Pelaburan, Tanah, Petroleum dan Sumber Asli.

Bagaimanapun, tiga EXCO kerajaan negeri iaitu ADUN Kuala Berang, Datuk Tengku Putera Awang; ADUN Telemong, Datuk Rozi Mamat dan ADUN Kemasik, Ir Rosli Othman tidak terbabit dalam pertukaran portfolio itu.

Tengku Putera masih kekal sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan negeri, Rozi kekal sebagai Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia manakala Ir Rosli sebagai Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri.

ADUN Permaisuri, Datuk Mohd Jidin Shafie yang sebelum ini Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan manakala ADUN Jertih, Datuk Muhammad Pehimi Yusof yang sebelum ini sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertanian & Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Turut terbabit dengan pertukaran portfolio itu ialah ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad apabila dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan, manakala ADUN Bukit Besi, Roslee Daud dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

ADUN Pengkalan Berangan yang juga Ketua UMNO Bahagian Marang, A Latiff Awang pula dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan, manakala ADUN Ajil, Ghazali Taib dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas.

Sementara itu, Mohd Jidin yang juga Ketua UMNO Bahagian Permaisuri yang akur dengan rombakan pertukaran portfolio itu berkata, pertukaran portfolio Exco adalah kuasa Menteri Besar.

"Sebagai pemimpin yang diberi amanah, kita akan laksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab," katanya.


Menteri Besar Terengganu Buat Kejutan Terhadap Ahmad Said Menteri Besar Terengganu Buat Kejutan Terhadap Ahmad Said Reviewed by Admin on 10:36:00 PTG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.