Penduduk Kelantan Rasa Jijik, Keluar Air Kuning Ketika Sambut Aidilfitri


Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) berkata bagi mengatasi masalah bekalan dan air kuning, kerja-kerja mencuci atau penyentalan paip perlu dilakukan.

KOTA BHARU - Bukan kegembiraan, sebaliknya masalah air yang dikendalikan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) didakwa masih lagi berlarutan sehingga ke hari raya menyebabkan pengguna resah setelah air yang keluar dari paip berwarna kuning cair.

Mohd Atif Abdullah, 38, dari Taman Kurnia Jaya, Pengkalan Chepa berkata, sepatutnya masalah air diselesaikan memandangkan perantau pulang untuk bergembira di hari raya.

“Ini tidak, kami terpaksa menghadapi masalah gangguan air yang berlarutan hingga empat hari menjelang hari raya dan juga semasa hari raya. Bagaimanam kami nak memasak makanan istimewa untuk menu pada hari raya apabila air tiada.

“Masalah sebegini menjadikan kami ‘menderita’ kerana ramai ahli keluarga pulang dan berkumpul setempat, biasanya di rumah ibu bapa. Kalau air keluar pun, ia berwarna kuning, agak jijik tetapi kami terpaksa guna kerana tiada pilihan,” dakwanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Sementara itu, Zainab Abdul Rahman, 50, dari Guchil Bayam berkata, masalah air tidak pernah selesai di kawasan taman perumahan dan di kampung terutama bagi mereka yang tidak boleh memasang telaga tiub di rumah.

“Bayangkan air kuning sebegini keluar ketika ahli keluarga berkumpul. Hendak mandi, memasak dan membasuh pakaian pun sukar, apalagi bagi mereka yang mengadakan rumah terbuka semasa hari raya, hal sebegini sangat menyusahkan pengguna,” katanya.

Masalah gangguan air bukan sahaja berlaku di sekitar Kota Bharu, Pengkalan Chepa, Kubang Kerian, Pasir Tumboh, Melor dan Ketereh, sebaliknya ia melibatkan seluruh daerah di negeri ini. Sementara itu, menjawab aduan pengguna, Pengarah Eksekutif AKSB, Sanusi Othman berkata, masalah air keruh memang berlaku melibatkan masalah setempat menyebabkan AKSB perlu lakukan kerja scouring, iaitu kerja cuci atau penyentalan paip.

“Punca air kuning ini disebabkan keladak terkumpul. Hanya aduan diperlukan dan kerja penyelenggaraan sudah dimulakan sejak akhir Jun lalu.

Aduan boleh dibuat menerusi talian 1-300-88-2572.

“Hasil kajian dan usaha memastikan Loji Chica kembali kepada kualiti asal sudah dibuat dan Insya-Allah kami akan kekalkan,” katanya.


Penduduk Kelantan Rasa Jijik, Keluar Air Kuning Ketika Sambut Aidilfitri Penduduk Kelantan Rasa Jijik, Keluar Air Kuning Ketika Sambut Aidilfitri Reviewed by Admin on 7:24:00 PG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.