Dua Individu Sumbang Derma Untuk Keluarga Polis Terkorban Di Sabah


MELAKA - Seorang individu yang prihatin menyumbang RM10,000 kepada keluarga perwira negara yang terkorban ketika mempertahankan negara daripada kumpulan penceroboh bersenjata di Lahad Datu, Sabah.

gambar hiasan

Luwe Sang Kau, 65, dari Bukit Katil menyampaikan sumbangan itu kepada Ketua Polis Melaka Datuk Chuah Ghee Lye di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, di sini hari ini.

"Jasa yang telah dilakukan ini adalah amat besar kerana perwira negara ini sanggup bergadai nyawa demi keamanan negara, kalau tidak ada askar dan polis, saya mungkin tidak ada di sini hari ini," katanya kepada pemberita selepas majlis itu.

Sumbangan ini tidak seberapa jika dibandingkan dengan pengorbanan anggota pasukan keselamatan kita dalam menjaga keamanan negara, kata Luwe yang merupakan pengerusi kepada beberapa syarikat pemaju perumahan.

Beliau yang pernah menetap di Lahad Datuk selama enam tahun sejak 1986, berkata sebagai rakyat Malaysia, bantuan seumpama itu amat bermakna kepada keluarga mangsa dalam meringankan beban dan kesedihan yang ditanggung.

Pada majlis sama, Persatuan Kepolisan Masyarakat Melaka turut menyumbangkan derma kilat berjumlah RM600 yang disampaikan Ketua Cawangannya Lee Kam Hua.

Sementara itu, Ghee Lye berkata, sumbangan kedua-dua pihak itu akan disalurkan ke Tabung Kebajikan Polis Diraja Malaysia untuk diagihkan kepada keluarga anggota keselamatan yang terkorban dalam insiden berdarah di Sabah.

Pada masa sama beliau turut mengingatkan rakyat negara ini supaya berdiri teguh di belakang anggota keselamatan negara yang ditugaskan di Sabah dan tidak mendengar khabar angin yang disebarkan menerusi media sosial.

Dalam pada itu, di Alor Setar, sebuah syarikat produk kesihatan menyumbang RM150,000 kepada keluarga dua anggota polis yang terbunuh dan tiga anggota yang cedera ketika mempertahankan negara daripada kumpulan penceroboh bersenjata di Lahad Datu.

Sumbangan daripada dR Rozmey Group (dRG) Sdn Bhd itu diserahkan presidennya Datuk Dr Che Rozmey Che Din kepada Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini, hari ini.

Dr Che Rozmey berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM15,000 disumbangkan kepada keluarga Allahyarham ASP Zulkifli Mamat dan Allahyarham Sarjan Sabarudin Daud yang terkorban dan RM5,000 masing-masing kepada setiap anggota yang cedera.

Beliau berkata syarikatnya turut memperuntukkan RM75,000 untuk insurans pendidikan dan pembiayaan bulanan sebanyak RM200 kepada dua orang anak Allahyarham Zulkifli (berusia lima tahun dan setahun) sehingga berumur 18 tahun.

"Pihak kami juga akan mengambil kedua-dua anak Allahyarham Zulkifli menjadi anak angkat agar masa depan mereka lebih terjamin," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan itu.

Dr Che Rozmey berkata, pihaknya turut menaja pakej menunai umrah sebanyak RM15,000 kepada balu kedua-dua mangsa serta kos upah haji RM2,000 kepada Allahyarham Sabarudin.

"Sumbangan itu tiada nilai jika hendak dibandingkan dengan jasa dan pengorbanan pasukan keselamatan negara yang bertarung nyawa mempertahankan kedaulatan negara khususnya kepada kedua-dua wira negara yang terkorban," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga akan menyalurkan sumbangan kepada enam lagi keluarga anggota polis yang terkorban dalam kejadian di Semporna.

Mereka yang terkorban ialah Supt Ibrahim Lebar dari Bukit Aman, ASP Michael Fadil dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna, Sarjan Detektif Baharin Hamid dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, Sarjan Aziz Sarikun dari Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau, Kpl Salam Tongiran (IPD Tawau) dan L/Kpl Mohd Azrol Tukiran (PGA Tawau).

Sementara itu, Ahmad berkata pihaknya mengalu-alukan sumbangan daripada syarikat korporat yang ingin membantu ahli keluarga yang terbunuh dalam insiden tersebut.

Katanya, sumbangan yang diberikan menunjukkan segala usaha polis yang terkorban dalam mempertahankan negara mendapat pengiktirafan sewajarnya daripada masyarakat.

"Kita juga akan melancarkan tabung bagi mengutip derma untuk membantu keluarga anggota polis yang terkorban dalam masa terdekat," katanya. - Bernama

Dua Individu Sumbang Derma Untuk Keluarga Polis Terkorban Di Sabah Dua Individu Sumbang Derma Untuk Keluarga Polis Terkorban Di Sabah Reviewed by Admin on 8:39:00 PTG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.