Ibrahim (dua, kiri) bersama isterinya ketika menyambut kepulangan Mek Yah dari Makkah.
BESUT - Seorang lagi anak jati Besut, Ibrahim Lebar, 52, gugur dipercayai akibat ditembak penceroboh dalam serangan hendap di Semporna, Sabah, kelmarin.
Beliau juga pegawai kanan polis berpangkat Superintendan dari Cawangan Khas Bukit Aman bertugas di kawasan konflik itu sejak dua minggu lalu.
Sebelum ini anggota Koman-do 69, Asisten Superintendan Zulkifli Mamat, 29, dari Kampung Kubang Ikan dekat Kampung Raja di sini, juga maut akibat ditembak penceroboh di Lahad Datuk Jumaat lalu.
Kakak Ibrahim, Mek Yah Lebar, 63, berkata, dia mendapat panggilan daripada seorang lagi adiknya dari Melaka jam 2.30 pagi semalam, memaklumkan Ibrahim terbunuh selepas melihat nama arwah di internet.
Menurutnya, dia kemudian menghubungi isteri Ibrahim, Rosiah yang juga pegawai bank, tinggal di Subang Jaya, Selangor untuk mengesahkan berita itu.
“Bagaimanapun ketika saya menghubungi isterinya pagi semalam, isterinya beritahu belum mengetahui berita itu tetapi dia kemudiannya mendapat pengesahan daripada polis memaklumkan suaminya terkorban," katanya ketika ditemui di rumahnya di belakang Masjid Jabi di sini semalam, sebelum dia dan keluarga bertolak ke Kuala Lumpur.
Menurutnya, kali terakhir Ibrahim pulang ke kampung pada 24 Januari lalu bersama keluarga untuk kenduri arwah dan sambutan Maulidur Rasul.
“Ayah kami (Lebar Awang Kechik) juga meninggal dunia pada Mac tahun lalu dan kami tidak sangka pada bulan sama tahun ini, adik kami pula pergi buat selama-lamanya,” kata Mek Yah mewakili adik beradiknya.
Maut Setahun Selepas Pemergian Bapa
Reviewed by Admin
on
9:56:00 PG
Rating: