LANGKAWI: Tindakan tentera laut Filipina menahan 35 pengganas Sulu yang cuba keluar dari Sabah membuktikan hubungan baik antara kerajaan Malaysia dan Filipina.
gambar hiasan
Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata penahanan itu dimaklumkan kepadanya oleh rakan sejawatannya dari Filipina selain memberitahu beliau semua pengganas terbabit akan dihadapkan di mahkahmah di sana.
"Siasatan akan dilakukan terhadap kesemua 35 mereka. Kita akan tunggu laporan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bersama rakyat sempena Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2013 di sini malam Khamis.
Ahmad Zahid berkata Malaysia juga sedang berusaha untuk mendapat perintah bagi memungkinkan pengganas terbabit didakwa di negara ini.
Terdahulu, agensi berita luar negara melaporkan 35 pengganas itu termasuk seorang wanita ditahan oleh dua buah kapal tentera laut Filipina berhampiran Pulau Tawi-Tawi, kira-kira 12 kilometer dari perairan Sabah.
Ketua Pemerintah Tentera di Mindanao Barat, Lt Jen Rey Ardo dipetik sebagai berkata mereka yang ditangkap itu dipercayai saki-baki pengganas Sulu yang memasuki Lahad Datu.
Beliau juga dilapor berkata ketika ditahan suspek pengikut pemimpin puak pengganas Sulu, Jamalul Kiram III itu sedang menuju ke sebuah pulau di Filipina.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata walaupun Malaysia dan Filipina tidak mempunyai perjanjian ekstradisi untuk membolehkan Jamalul Kiram dibicarakan di negara ini, ada peruntukan undang-undang yang boleh diteliti untuk membenarkan perkara tersebut dilakukan.
"Secara konvensional Malaysia pernah serahkan (pemimpin) Moro National Liberation Front (MNLF)) Nur Misuari (yang berada di Sabah) ketika dia jadi pemberontak kepada Manila. Kita harap beberapa perkara kajian perundangan dilakukan supaya Jamalul Kiram dibawa ke Malaysia.
"Bezanya Nur Misuari adalah rakyat Filipina dan dibawa ke Filipina manakala Jamalul Kiram adalah rakyat Filipina, berada di Filipina dan tertakluk kepada undang-undang Filipina," katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid membangkitkan persoalan mengenai kemampuan Jamalul Kiram membiayai pasukan pengganasnya sedangkan dia sendiri yang perlu menjalani rawatan dialisis, terpaksa bergantung kepada bantuan kewangan daripada kerajaan Filipina untuk kelangsungan hidup.
"Ertinya dia tidak berkemampuan, dia bukan raja berdaulat. Bagaimana senjata baru boleh dibeli dan bagaimana pembiayaan dibuat terhadap penceroboh. Kekhuatiran kita ada dalang-dalang yang menjadi pihak ketiga sama ada dari Malaysia atau Filipina yang mendukung pencerobohan militan untuk raih sokongan politik
"Jika bukti ini diperolehi, yang bukan sekadar dipetik dari agensi berita antarabangsa, kita takkan berkompromi kepada penderhaka yang menyebabkan pahlawan-pahlawan kita dari tentera dan polis kehilangan nyawa
"Kita mahu rakyat hukum penderhaka. Dalam soal pencerobohan tak harus beri kompromi walaupun sedikit. Rakyat tak sanggup dan tak reda gadai kedaulatan Malaysia," katanya. -BERNAMA
Tahan 35 Pengganas Sulu Bukti Kerjasama Baik Filipina
Reviewed by Admin
on
8:13:00 PG
Rating: