Ahmad Shahabudin (dua, kiri) beramah mesra dengan Azlan (tengah) selepas penyampaian sijil penghargaan itu.
ALOR SETAR - Seorang lelaki tekad mempertaruhkan nyawanya dengan menerjah masuk ke dalam sebuah rumah sebaik melihat seorang kanak-kanak terperangkap dalam kediamannya di Kampung Seberang Tambang Badak, di sini, pada 15 Januari lepas.
Azlan Ishak, 42, berkata, kejadian jam pukul 12 tengah hari itu berlaku ketika dia berada di kawasan berdekatan, iaitu sekitar Masjid Zahir kerana sedang menjalankan aktiviti gotong-royong bersama jabatan kerajaan.
“Secara tiba-tiba kepulan asap kelihatan di udara, menyebabkan saya bergegas dari tempat gotong-royong menuju ke lokasi berkenaan untuk menghulurkan bantuan.
“Setibanya di lokasi kejadian, didapati suasana sekitar kawasan tersebut agak kelam kabut, manakala sebahagian penduduk berada dalam keadaan panik, menyebabkan saya membantu mereka memerlukan ini, sehinggalah tiba bantuan dari pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)," katanya.
Menurutnya, dia memantau kawasan belakang, selepas selesai melihat bahagian depan rumah, yang mana ketika kejadian api telah membakar kereta dan sebahagian barangan di rumah itu.
Katanya, apabila ke kawasan belakang rumah berkenaan bagi melakukan pemeriksaan dan meninjau keadaan, dia mendapati seorang kanak-kanak berusia 10 tahun berada dalam rumah yang sedang marak dijilat api itu.
Azlan berkata, kanak-kanak tersebut kelihatan terpinga-pinga dengan kejadian yang baru berlaku itu menyebabkan dia hanya terkaku dan diam ketika berada dalam rumah berkenaan.
Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Komunikasi Dan Keselamatan Melayu Kedah (KMK) berkata, walaupun bahaya dan berada dalam keadaan kesakitan akibat terpijak paku pada ketika itu, dia tidak berfikir panjang sebaliknya lebih mementingkan hasrat menyelamatkan nyawa kanak-kanak berkenaan hingga sanggup mengorbankan nyawanya.
“Terdapat banyak tong gas di situ dipercayai digunakan keluarganya untuk berniaga, menyebabkan saya dengan segera menarik keluar kanak-kanak itu bersama sebiji tong gas yang berada dalam rumah itu disebabkan bimbang kemungkinan ia akan meletup jika tidak dikeluarkan," katanya.
Atas keberaniannya menyelamatkan nyawa kanak-kanak berkenaan, Ketua Pengarah JBPM Kedah, Ahmad Shahabudin menyampaikan sijil penghargaan kepada Azlan kerana sumbangannya itu dalam Perbarisan Tahunan 2013 JBPM Negeri Kedah di Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Kedah, Jalan Tun Abdul Razak, di sini.
Terjah Api Selamatkan Budak
Reviewed by Admin
on
10:00:00 PG
Rating: