Kata-kata Terakhir Anwar Di Mahkamah Setelah Dijatuhi Hukuman Penjara



Mahkamah mengenepikan permohonan pihak pembela yang meminta hukuman lebih ringan dari yang dijatuhkan Mahkamah Rayuan sebelum ini dan pada masa sama menolak permohonan pihak pendakwa yang mahu hukuman ditingkatkan.

Terdahulu, sebelum hukuman dijatuhkan, Anwar menyerang panel lima hakim yang mensabitkan beliau bersalah hari ini, menuduh mereka "tunduk kepada tuan politik dan menjadi rakan jenayah dalam pembunuhan sistem kehakiman."

Anwar memberitahu panel diketua Ketua Hakim Tun Arifin Zakaria yang kenyataan lengkap dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri beberapa minit selepas penghakiman disampaikan.

"Dalam menunduk kepada tuan politik, mereka memalukan diri sendiri dan menjadi rakan jenayah dalam pembunuhan sistem kehakiman," katanya sebelum Arifin meminta ketua peguam bela Datuk Gopal Sri Ram menyuruh Anwar berhenti.

Bagaimanapun, Gopal memberitahu Arifin, anak guamnya berhak bercakap di mahkamah, dijawab Arifin, "ya, (beliau berhak) bercakap mengenai rayuan, bukan mengutuk mahkamah."

Tetapi, Anwar terus mengecam kehakiman sambil menambah: "Anda mempunyai peluang untuk membetulkan kesilapan tetapi anda pilih untuk terus berada di pihak yang gelap."

Ketika ini, Arifin dan semua yang duduk di panel hakim keluar meninggalkan kamar mahkamah.

Anwar terus bercakap dan berteriak di mikrofon: "Saya akan, lagi, untuk kali ketiga, masuk penjara, tetapi dengan bangga."

"Saya tidak akan berdiam dan akan berjuang mendapatkan pembebasan dan keadilan dan saya tidak akan menyerah kalah," katanya.

Peguam terdahulu mengatakan, berdasarkan faktor usia, Anwar mungkin dipenjarakan untuk sehari sahaja ataupun diikat mahkamah di bawah hukuman bagi Seksyen 377B Kanun Keseksaan.

Pendakwaan yang diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah merayu hukuman penjara lebih lama, sehingga 20 tahun.

Mitigasi dan penjatuhan hukuman terhadap Anwar, yang genap 68 tahun Ogos ini, bermula dengan Gopal memberitahu panel Mahkamah Persekutuan, tidak ada alasan yang kukuh meningkatkan hukuman ke atas Anwar.

Beliau juga berkata, mahkamah mempunyai kuasa mengikut undang-undang, menggunakan budibicaranya menjatuhkan hukuman yang yang lebih ringan.

"Beliau (Anwar) bukan orang biasa. Sumbangannya kepada negara ketika beliau berada dalam kerajaan sangat banyak dan meluas."

"Malah di dalam pembangkang pun, beliau membuat sumbangan yang signifikan terhadap memajukan prinsip demokrasi dan menimbulkan kesedaran majoriti rakyat Malaysia," kata Gopal meminta hukuman lebih ringan.

Ikuti perkembangan terkini di sini:


* Keluarga Anwar meninggalkan kompleks mahkamah. Kereta mereka dikelilingi penyokong.

* Anwar dibawa meninggalkan kompleks mahkamah. Orang ramai menjadi kecoh dan mula membaling botol dan bergelut dengan polis. Polis memberi amaran akhir.

* Di luar mahkamah, Unit Simpanan Persekutuan sekali lagi membunyikan siren memberi amaran kepada penyokong supaya berkelakuan baik dan bersurai.

* Seorang peguam Anwar, Latheefa Koya, berkata Anwar akan dibawa ke penjara Sungai Buloh.

* Anwar mendukung cucunya yang berusia setahun dan menciumnya. Polis membawa Anwar tetapi membenarkan ahli keluarganya makan tengahari bersamanya.

* Bapa mertua Anwar mengelap air mata sambil abangnya Idrus berkata: "Mahkamah macam ni, tak payah komen lah. Tak berani nak dengar apa Anwar nak cakap."

* Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali menangis sambil dipeluk Anwar.

* Siren daripada polis rusuhan dapat didengar ketika penyokong di luar melaungkan 'reformasi'.

* Anwar kelihatan ceria, begitu juga anaknya Nurul Izzah.

* Laungan 'reformasi' kedengaran di mahkamah.

* Apabila hakim kembali, mereka menegakkan hukuman penjara lima tahun atas Anwar seperti yang dijatuhkan Mahkamah Rayuan sebelum ini.

* Anwar terus bercakap sambil hakim berjalan keluar walaupun Ketua Hakim Tun Arifin Zakaria memintanya berhenti mengecam kehakiman.

* Hakim meninggalkan kamar mahkamah ketika Anwar mengkritik kehakiman dari kandang. "Ini satu pemalsuan yang jelas dan konspirasi politik bagi menghentikan karier politik saya. Penghakiman bertulis yang lengkap diletakkan di laman web pejabat Perdana Menteri beberapa minit selepas Yang Arif menyampaikan penghakiman, malah sebelum hukuman dijatuhkan."

* Anwar bercakap dari kandang: "Saya terkejut dengan keputusan ini. Saya kekalkan saya tidak bersalah."

* Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata hukuman lima tahun penjara itu salah dari segi prinsip, menegaskan ia tidak sepatutnya kurang dari hukuman enam tahun yang dijatuhkan semasa kes liwat pertamanya.– 10 Februari 2015.


Kata-kata Terakhir Anwar Di Mahkamah Setelah Dijatuhi Hukuman Penjara Kata-kata Terakhir Anwar Di Mahkamah Setelah Dijatuhi Hukuman Penjara Reviewed by Admin on 9:23:00 PTG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.