“Dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat yang menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Tuhan) bagi orang-orang yang berfikir,” – Surah An-Nahlu, ayat 68 dan 69.
Demikianlah betapa hebatnya ciptaan Allah SWT yang memberikan segala rahmat dan rahimNya kepada semua hamba manusia di muka bumi ini mengenai khasiat madu yang diperoleh dari lebah.
Malah, pendapat ulama silam mentafsirkan bahawa antara sebab-sebab turunnya (asbabun nuzul) Surah An-Nahlu (lebah) adalah untuk manusia berfikir tentang pentingnya peranan madu di dalam membina kehidupan yang sihat, khususnya kepada para muslimin dan muslimat di seluruh dunia.
Sesungguhnya, firman Allah itu telah dikuatkan lagi dengan sabda Rasulullah SAW yang berkali-kali menyatakan bahawa madu adalah sangat baik untuk kesihatan, menyembuhkan penyakit, menguatkan ingatan minda dan membawa banyak khasiat lain.
Antaranya, sabda Rasulullah SAW;
“Barangsiapa minum madu setiap bulan dengan niat melakukan nasihat Al-Quran, maka Allah SWT akan menyembuhkannya dari 77 penyakit.
“Barangsiapa ingin memiliki hafalan yang kuat hendaklah dia meminum madu.
“Sebaik-baik minuman ialah madu kerana dia dapat mengkonsentrasikan hati dan menghilangkan dingin yang ada di dalam dada.
“Allah SWT telah meletakan berkat di dalam madu dan menjadikannya sebagai ubat dari rasa nyeri, dan madu telah didoakan oleh 70 Nabi,”.
Menurut para sahabat pula, Rasulullah SAW sangat menggemari madu dan turut memberikan tips kepada umat Islam mengenai khasiat yang tersembunyi di dalamnya.
Misalnya Sayyidina Ali Karramallahu Wajhah RA berkata bahawa “madu adalah ubat dari segala penyakit, tiada penyakit di dalamnya, ia dapat menghilangkan lendir dan membersihkan hati”.
Manakala Imam Ja’afar RA pula menjelaskan bahawa selain Al-Quran, madu merupakan ubat paling mujarab untuk menyihatkan badan.
Ilmuwan Islam terkenal, Ibnu Sina, yang rasa terpanggil dengan firman Allah untuk mengkaji kelebihan yang terdapat pada madu menemukan bukti secara saintifik mengenai khasiat yang terdapat di dalam cecair yang dihasilkan dari perut lebah itu.
Dari hasil kajiannya yang kemudiannya menjadi rujukan para sarjana dan pakar orientalis barat mendapati madu mampu menyembuhkan pelbagai penyakit ringan dan berat seperti penyakit jantung, tekanan darah tinggi, demam, melancarkan peredaran darah, menurukan suhu badan dan banyak lagi.
Malah, Ibnu Sina sendiri mengamalkan meminum madu yang dikatakan memberikan padanya umur yang agak panjang dan awet muda sehingga ke akhir hayat.
Kitab Islam terkenal, Tafsir Ibnu Kathir, menyatakan bahawa madu yang berwarna putih, keemasan dan kehitaman sangat sesuai untuk dijadikan santapan harian sama ada dicampur di dalam makanan atau minuman.
Begitulah kebijaksanaan dan rahmat yang diturunkan Allah kepada manusia dan terserahlah kepada hamba-hambaNya untuk memilih sama ada mahu mengikut fitrah yang diberikan kepada mereka atau sebaliknya.
Namun, agak menyedihkan apabila ramai dikalangan kita yang lebih berminat untuk mengambil minuman gas ciptaan barat atau berkafien tinggi meskipun dibuktikan secara saintifik sebagai merbahaya kepada kesihatan manusia.
Alangkah indahnya sekiranya kita merujuk kepada fitrah Islam sebagai cara hidup seharian sementara menunggu saat bertemu dengannya di dalam kehidupan yang lebih abadi nanti, wallahu’alam.
Khasiat Madu Lebah Menurut Islam Dan Saintifik
Reviewed by Admin
on
7:53:00 PG
Rating: