Remaja OKU Hilang Ditemui Selamat


SAIFUL (tengah) bermesra dengan Sarmidi (kanan) dan Zaleha selepas ditemui semula di Masai, Pasir Gudang, Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU – Seorang remaja orang kelainan upaya (OKU), Saiful Sarmidi, 21, yang dilaporkan hilang ketika bermain di sebuah surau di Kampung Sungai Rinting C, Masai, Pasir Gudang di sini Khamis lalu ditemui semula dalam keadaan selamat semalam.

Saiful yang mengalami sindrom down dilaporkan berada dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru dan hanya diketahui identitinya selepas berita kehilangan remaja tersebut disiarkan di akhbar semalam.

Menurut bapanya, Sarmidi Subir, 48, seorang buruh binaan, dia menerima panggilan daripada JKM Johor Bahru pada pukul 7.30 pagi yang memaklumkan Saiful berada di sana selepas diserahkan oleh JKM Kota Tinggi beberapa hari lalu iaitu kira-kira 50 kilometer dari rumahnya.

“Menurut JKM Johor Bahru, Saiful telah diserahkan kepada JKM Kota Tinggi oleh orang awam yang menemui remaja itu di bandar tersebut pada Jumaat lalu.

“Saya sendiri tidak tahu bagaimana Saiful boleh berada Kota Tinggi kerana pihak JKM sendiri tidak memberi butir secara terperinci,” katanya semalam.

Menurut Sarmidi, Saiful yang mengalami masalah pendengaran tidak mengalami sebarang kecederaan tetapi kelihatan sedih dan menangis sambil memeluk dirinya sejurus mereka berjumpa.
sumber

Remaja OKU Hilang Ditemui Selamat Remaja OKU Hilang Ditemui Selamat Reviewed by Admin on 11:45:00 PTG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.