Van Syarikat Keselamatan Bawa RM3.36j Disamun dan Dibakar



KUALA SELANGOR - Empat lelaki melarikan wang tunai berjumlah RM3.36 juta dari sebuah van syarikat keselamatan dalam kejadian samun di sebuah stesen minyak pekan Ijok di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Mohd Taib Ahmad ketika dihubungi berkata, rompakan itu berlaku kira-kira pukul 9.45 pagi semasa van yang dinaiki empat pengawal keselamatan itu berhenti bagi tujuan memindahkan wang ke dalam mesin pengeluaran juruwang wang automatik (ATM), di stesen minyak berkenaan.

"Sebelum kejadian, van keselamatan terbabit membawa sembilan karung mengandungi wang tunai berjumlah RM3.36 juta dari ibu pejabat syarikat keselamatan itu di Batu Caves.

"Siasatan awal mendapati empat suspek itu terlebih dahulu telah menunggu di stesen minyak berkenaan dengan menaiki sebuah van Nissan Vanette dan sebuah motosikal jenis Yamaha," katanya.

Beliau berkata, sejurus tiba di perkarangan stesen minyak itu, dua daripada empat suspek meluru masuk ke dalam van berkenaan dan merampas senapang patah milik seorang pengawal keselamatan itu sebelum melarikan van bersama empat pengawal keselamatan di dalamnya.

"Dua lagi suspek menaiki sebuah van Vanette dan mengekori rakan mereka dari belakang.

"Van keselamatan itu kemudian dilarikan ke ladang kelapa sawit iaitu kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian (stesen minyak) bagi tujuan memindahkan karung berisi wang ke dalam van Vanette yang dinaiki dua lagi suspek," kata Mohd Taib.

Beliau berkata, suspek kemudian membakar van itu sebelum melarikan diri bersama wang tunai yang disamun.

Empat pengawal keselamatan itu bagaimanapun berjaya meloloskan diri dari van berkenaan tetapi dua orang cedera di beberapa bahagian badan akibat melecur.

Kedua-duanya kini menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.

Polis menemui van yang ditinggalkan terbakar itu di ladang Bukit Badong, dua kilometer dari stesen minyak berkenaan, kira-kira pukul 2.30 petang tadi, katanya.

Polis sedang berusaha memburu kesemua suspek. - Bernama

Van Syarikat Keselamatan Bawa RM3.36j Disamun dan Dibakar Van Syarikat Keselamatan Bawa RM3.36j Disamun dan Dibakar Reviewed by Admin on 9:26:00 PG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.