Kisah Lelaki Mengahwini Wanita Syiah Tanpa Pengetahuannya



ALOR SETAR - Seorang usahawan muda tidak menyangka perkenalan singkatnya dengan seorang gadis di laman sosial Facebook membawa kepada perkahwinan Syiah.

Irfan Amar (bukan nama sebenar), 30, mengenali wanita warga Thailand itu pada 2010 sebelum mengambil keputusan untuk bertunang kira-kira sebulan kemudian.

Perwatakan lemah lembut dan penuh sopan wanita berusia 19 tahun ketika itu membuatkannya terpesona pada pandangan pertama.

Difahamkan, ahli keluarga wanita itu menetapkan tarikh pertunangan mereka pada pertemuan kali pertama di rumah mereka di negara jiran.

“Segalanya bermula perkenalan kami di laman sosial. Oleh kerana niat ikhlas untuk bernikah dan menamatkan zaman bujang, saya mengambil keputusan untuk mengenalinya lebih rapat.

“Saya mengambil keputusan untuk ke rumahnya di Thailand untuk mengenali keluarganya terlebih dahulu. Proses perkenalan itu berjalan dengan baik,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, keraguan itu mula timbul setelah didesak bernikah dengan tergesa-gesa sedangkan perkenalan mereka baru sebulan.

“Setibanya di rumah wanita itu, kami sekeluarga terkejut apabila niat untuk berkenalan bertukar kepada penetapan tarikh bertunang.

“Kami menjadi serba salah dan terkejut dengan cara yang dibuat oleh keluarga wanita itu. Seolah-olah saya dan keluarga terperangkap,” katanya.

Bagaimanapun, mereka beranggapan baik dan bersetuju untuk menetapkan tarikh pertunangan kira-kira sebulan kemudian.

“Selepas bertunang, keluarga mereka mendesak kami lagi supaya pernikahan itu disegerakan seolah-olah tidak memberi kami peluang menetapkan tarikh, mengenal keturunan mereka dan dipaksa dengan cara yang amat halus.

“Atas desakan dan singkatnya tempoh perkenalan itu, kami bertunang dan akad nikah di negara jiran. Saya masih beranggapan baik pada ketika itu,” katanya.

Irfan berkata, mereka bernikah pada tahun 2011 mengikut pegangan Ahlul Sunnah Wal Jamaah tanpa dihadiri oleh ahli keluarganya.

“Saya mula menyedari mereka adalah dari keluarga Syiah apabila kami tidak dibenarkan bersama selagi tidak bernikah kali kedua iaitu di sebuah rumah dekat belakang Masjid Hutan Kampung, Alor Setar.

“Akad nikah kali kedua itu pelik apabila ia dilakukan oleh pasangan perempuan dan dilafazkan dalam bahasa Arab. Dalam akad itu juga saya terdengar satu perkataan mut’ah iaitu kahwin kontrak,” katanya.

Anak ketiga dari empat beradik itu kemudian merujuk kejadian itu dengan Pejabat Agama Daerah Kota Setar semasa melakukan proses pendaftaran nikah.

“Setelah dinasihatkan oleh pegawai pejabat agama, saya berasa sedikit tenang dan mengambil langkah berjaga-jaga.

“Bagaimanapun, saya dan isteri sukar menerima kenyataan serta sering bertengkar mengenai isu sunnah dan Syiah,” katanya.

Irfan berkata, isterinya turut mengakui secara terus terang mengamalkan Syiah selain ibu bapanya juga berpegang kepada amalan itu.

“Pernah kami bertengkar mengenai ketaatannya kepada suami, namun dia menyatakan bahawa syurga seorang isteri terletak pada bawah kaki ibunya sendiri.

“Tetapi setiap kali bergaduh mengenai fahaman Syiah dan sunnah, dia menyatakan pula tidak mengikut jejak langkah keluarganya dan masih pengikut fahaman sunnah. Saya masih ragu mengenai perkara itu,” katanya.

Beliau mendakwa pernah dibawa melawat markas Syiah di Pendang beberapa kali dan pemimpin itu juga pernah melawat isterinya ketika melahirkan anak di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, pada 2013.

“Saya meneliti setiap pergerakannya dalam melaksanakan tanggungjawab. Anak seringkali dibiarkan menangis dan memandikan anak pun lebih kurang sahaja.

“Pernah juga dia keluar rumah tanpa keizinan saya beberapa kali dan sibuk dengan aplikasi laman sosial di telefon pintar,” katanya.

Menurutnya, tindakan itu mencabar nalurinya sebagai seorang suami yang memendam rasa sekian lama dan terpaksa menceraikan isterinya pada 1 April lalu.

“Setelah berpisah, ia menjadi satu tekanan kepada saya kerana anak perempuan yang kini berusia dua tahun berada dalam jagaan bekas isteri," katanya.

Irfan tidak mempunyai bukti kukuh berhubung dakwaan itu bagi mendapatkan hak penjagaan anaknya.

“Mungkin saya tidak banyak bukti, tapi di rumah mertua memang tersimpan banyak kitab Syiah," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap mendapat banuan pihak tertentu bagi mendapatkan semula hak penjagaan anak perempuannya itu. - SH


Kisah Lelaki Mengahwini Wanita Syiah Tanpa Pengetahuannya Kisah Lelaki Mengahwini Wanita Syiah Tanpa Pengetahuannya Reviewed by Admin on 10:08:00 PG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.