Malaysia Kena Belasah Teruk UAE, Ini Komen Dollah Salleh



KUALA LUMPUR: Dollah Salleh tidak menolak kemungkinan melepaskan jawatan pembimbing pasukan kebangsaan selepas kekalahan memalukan 10-0 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Abu Dhabi, malam tadi.

Pada aksi ketiga Kumpulan A Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Stadium Mohammed Bin Zayed, Harimau Malaya ketinggalan 7-0 pada separuh masa pertama kepada tuan rumah.

Pada sidang media selepas perlawanan itu, Dollah yang ditanya sama ada akan meletakkan jawatan selepas kekalahan berkenaan, berkata; "Saya tak tahu tetapi mungkin juga.

"Apa pun tunggu dan lihat dalam tempoh dua atau tiga hari ini," kata Dollah yang dilantik pengendali skuad kebangsaan pada Jun tahun lalu dalam laman web rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Mengulas prestasi pemainnya, Dollah menyifatkan persiapan skuad kebangsaan menjelang pertembungan menentang pasukan terbaik seperti UAE tidak mencukupi terutama selepas mengharungi jadual liga tempatan yang padat.

"Seperti yang saya katakan, persiapan kami hanya tiga ke empat hari. Bukan mudah nak main macam UAE yang saya katakan mereka pasukan terbaik di Asia.

"Pemain kami pula keletihan mengharungi jadual padat liga dan sebab itu mereka tak dapat menyaingi tempo permainan UAE," katanya.

Dalam perlawanan itu, gawang Malaysia bocor seawal minit ke-16 menerusi jaringan Mohamad Salam diikuti jaringan Ali Mabkhout (m22), Ahmed Khalil (m23) dan Habib Al Fardan (m25) yang memaksa Dollah mengeluarkan penjaga gol utama, Khairul Fahmi Che Mat dan memasukkan Zamir Selamat pada minit ke-29.

Begitupun, ia tetap tidak dapat menghalang UAE kendalian Mahdi Ali menambah tiga lagi gol menerusi jaringan kedua peribadi Khalil dan Mabkhout pada minit ke-29 dan ke-33 serta jaringan ketujuh pasukan oleh Mohamed Ahmed pada minit ke-39.

Bersambung babak kedua, Malaysia cuba bermain lebih kemas dan berjaya menguji pertahanan UAE sebelum Zamir mengalami kecederaan dan digantikan dengan penjaga gol Pahang, Khairul Azhan Khalid pada minit ke-62.

Lapan minit kemudian, gawang Malaysia kembali bocor menerusi Khalil dan Mabkhout yang masing-masing melengkapkan hatrik pada minit ke-70 dan ke-75.

Khalil kemudian melengkapkan jaringan keempat peribadinya menerusi gol ke-10 pada minit ke-78.

"Saya tak tahu apa terjadi malam ini terutama bahagian pertahanan," kata Dollah. "Kami beri gol-gol mudah. Tiga atau empat gol boleh dianggap gol mudah dan semuanya membawa kepada kemusnahan kepada pasukan kami.

"UAE juga mempamerkan persembahan cukup baik terutama Omar Abdulrahman (pemain No 10), seorang pemain cukup hebat dan dia ternyata 'membunuh' setiap pemain kami.

"Saya tak jangka boleh kena sampai 10 gol. Memang saya tahu bukan mudah nak menang di sini dan sebab itulah saya letak sasaran mahu seri.

"Tapi dengan cara UAE bermain dan pemain kami pula saya tak tahu apa jadi kepada mereka, segalanya musnah," kata bekas pemain kebangsaan itu.

Malaysia akan menanti kunjungan Arab Saudi yang membelasah Timor Leste 7-0 di laman sendiri, awal pagi tadi untuk perlawanan keempat di Stadium Shah Alam, Selasa ini. - Sinar

Malaysia Kena Belasah Teruk UAE, Ini Komen Dollah Salleh Malaysia Kena Belasah Teruk UAE, Ini Komen Dollah Salleh Reviewed by Admin on 6:31:00 PTG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.